Pelajar SMK Bandar Baru Bangi Diserang Histeria


BANGI - Seorang guru wanita memuat naik di media sosial melaporkan, berpuluh-puluh pelajar di sebuah sekolah menengah di Bandar Baru Bangi diserang histeria. 

"Kecoh, kelam kabut! Berpuluh orang pelajarku diserang histeria! Jeritan nyaring macam pontianak bersahutan di sana sini. Bacaan ayat-ayat Quran dan suara azan berkumandang di seluruh kawasan sekolah," kata guru wanita berkenaan di laman Facebooknya, sekitar jam 12 tengah hari tadi.

Menurutnya, kesemua mangsa ternampak lembaga yang menakutkan. Malah lembaga tersebut juga berkemampuan menyerang pelajar yang melaungkan azan. 



Jelasnya lagi, kejadian itu dipercayai berpunca dari 'habitat' makhluk berkenaan yang telah ditebang bagi membuat pintu kedua sekolah berkenaan. Tindakan itu menyebabkan 'penghuninya mengamuk' dan menyerang para pelajar lelaki dan perempuan sekolahnya. 

Kejadian yang dimuat naik oleh guru berkenaan telah dikongsi 1,220 di laman Facebook.

Menurut seorang pelajar tingkatan lima sekolah berkenaan, Muhd Luqman, kejadian itu memang berlaku menyebabkan sekolahnya menjadi huru hara.

"Ya betul. Saya pelajar tingkatan lima di situ. Memang keadaan di sekolah sangat huru hara. Bila seorang dah pulih, orang terdekat pula akan kena. Benda itu jadi secara berterusan.

"Bahu terasa sangat-sangat berat. Kemudian dalam badan rasa panas ketika baca yassin dan azan. Itu sebab mereka meraung. Ini adalah apa yang kawan saya sendiri alami seperti yang dia ceritakan pada saya," katanya.


Ekoran itu, pihak sekolah telah memaklumkan kepada semua ibu bapa pelajar untuk mengambil anak mereka pulang. - The Reporter

No comments

Powered by Blogger.