'Dato Yang Banyak Duit Pun Takut, Apatah Lagi Rakyat Marhaen Hari-Hari Takut' - Netizen


KUALA LUMPUR - "Takutnya saya dengan ekonomi Malaysia sekarang," demikian kata Dato Aliff Syukri, pengasas D'Herbs melalui laman Facebook rasminya.

12 jam yang lalu, Dato Aliff Syukri meluahkan pandangannya mengenai ekonomi Malaysia yang dianggapnya agak menakutkan sehingga memaksa dirinya mempertimbangkan cadangan untuk meluaskan empayar perniagaan di negara-negara asia. 

Pada pandangan beliau, kos sara hidup di negara ini semakin meningkat, tetapi perniagaan tanpa mengira sebarang bidang pula dilihat semakin menurun. 

"Ini menyebabkan syarikat saya sedang mempertimbangkan untuk meluaskan perniagaan saya di merata tempat di negara-negara asia dan paling mengecewakan, nilai mata wang negara jiran iaitu Thailand jauh lebih tinggi dari Malaysia. Gaji mereka juga jauh lebih tinggi.

"Sukar untuk kita melihat orang Thailand bekerja di Malaysia berbanding empat tahun yang lalu," katanya. 

Ekoran dari keadaan itu, katanya, satu persatu kilang-kilang jenama gergasi di negara ini telah ditutup dan berpindah ke negara lain. 

"Mengapa dan apa puncanya? Cuba bayangkan dalam tempoh dua tahun yang akan datang, apa yang akan terjadi pada negara kita?" soalnya. 

Berkongsi pengalaman ketika membuat lawatan perniagaan ke Australia, beliau banyak melihat wajah anak-anak bangsa Melayu dipandang rendah oleh rakyat Australia. 

"Ini kerana lambakan orang kita yang bekerja sebagai buruh kasar yang tidak diiktiraf seperti tukang sapu, pemetik buah dan banyak lagi. Sehinggakan bila saya memaklumkan saya berasal dari Malaysia, mereka memanggil saya dengan sinisnya, 
"Oh, are you farmer boy?"
"Sekaligus memburukkan imej negara kita. Mengapa rakyat kita berhijrah ke Australia dan menjadi buruh kasar?" luahnya kecewa. 

Malah, ramai pekerja terpaksa berniaga secara sambilan dan wujudnya lebih ramai peniaga kecil-kecilan berbanding jumlah pembeli. Jika berterusan begitu, keadaan ini akan merosakkan ekonomi. 

"Saya berdoa agar Malaysia maju demi rakyat marhaen seperti kami," katanya. - The Reporter

No comments

Powered by Blogger.