Kos Rawatan RM32,800 Tak Munasabah, Anak Buat Laporan Polis


ALOR GAJAH - Susulan kes kos rawatan tidak munasabah yang dikenakan oleh sebuah pusat perubatan Islam viral di media sosial, lelaki yang memuat naik gambar invois rawatan tersebut membuat laporan polis untuk tindakan lanjut, lapor Harian Metro

Muhammad Sholehin Md Saad, 22, berkata, dia menemui alamat pusat rawatan itu selepas membuat pencarian di internet kerana mahu mengubati ibunya yang mengadu sakit kaki semenjak Selesa lalu. 

Menurut Sholehin, dia tidak mempunyai pilihan lain kerana pusat perubatan yang lain ramai pelanggan dan hanya Pusat Perubatan Islam Darul Rizqi sahaja yang beroperasi sehingga jam 12 tengah malam. Kedatangan mereka disambut oleh seorang lelaki bernama Am dan memaklumkan kepada mereka bahawa rawatan yang diberikan adalah berbayar. 

"Memandangkan kami datang dari sejauh 61.3 kilometer dari Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah ke pusat rawatan Islam terbabit, mahu atau tidak kena teruskan berubat kerana ibu (Sardiah Wahab, 46) mengadu sakit. 

"Saya memang terperanjat apabila dimaklumkan perlu membayar RM300 untuk proses imbasan ke atas ibu yang menanggung rasa tidak selesa akibat kesakitan. 

"Lelaki itu kemudian bertanya berulang kali sama ada mahu meneruskan atau tidak rawatan, menyebabkan saya yang ditemani oleh isteri dan abangnya, Muhammad Saddan, 25, mengumpul duit yang ada ketika itu untuk berubat," katanya. 

Selepas proses mengesan penyakit selesai, Sholehin dimaklumkan bahawa ibunya terkena sihir iaitu patung dililit dawai berduri di bahagian kaki yang mengakibatkannya terasa sakit dan mengalami masalah saraf. 

Lelaki itu kemudian menunjukkan invois senarai setiap rawatan yang perlu dijalani ibu dengan kos RM32,800 dan sekali lagi bertanya berulang kali sama ada mahu meneruskan rawatan atau sebaliknya. 

"Kerana tidak mampu, kami minta jumlah itu dikurangkan kepada RM22,000. Melihat kami berbincang agak lama, ibu saya bertindak menyerahkan gelang tangan emas yang dipakainya kepada lelaki itu," katanya. 

Apabila ditanya mengenai caj rawatan yang mahal, lelaki itu menyatakan jumlah itu adalah kos ditanggung ke atas pesakit sepanjang rawatan sehingga sembuh sepenuhnya. Malah, dia turut menawarkan air Yasin untuk mandian dan diminum pada harga RM40 sebotol. Namun Sholehin mengatakan bahawa mereka kehabisan duit dan akhirnya air itu diberikan secara percuma. 

Susulan viralnya invois itu di media sosial, Sholehin telah dihubungi beberapa wakil pusat perubatan Islam lain yang turut menawarkan bantuan untuk merawat ibunya. 

Sementara itu, Sardiah berkata, dia pada mulanya menyangka anaknya bergurau mengenai kos rawatan tersebut. 

"Mahu tak mahu, saya serahkan rantai tangan berharga RM4,000 itu agar rawatan dapat diteruskan memandangkan kami sudah berusaha separuh jalan," katanya. - The Reporter

No comments

Powered by Blogger.