'Malas, Letih & Bosan Bila Isteri Ajak Masuk Dalam Pasar Raya Cari Barang'


Di sebuah pasar raya, seorang suami bertengkar dengan isterinya dan menyuruh isterinya pergi masuk ke dalam pasar raya, sementara dia duduk di bangku kerana enggan ikut sama. Pertengkaran mereka itu diperhatikan oleh seorang pakcik yang berumur dalam lingkungan 60'an. 

"Apa masalah nak marah-marah pada isteri? Maaf, pakcik bertanya," soal pakcik itu. 

"Tak ada apa pakcik. Isteri saya ajak masuk ke dalam pasar raya, ikut dia cari barang. Saya malaslah pakcik sebab letih dan bosanlah dengan perangai orang perempuan ini," jawab si suami. 

Pakcik itu tersenyum dan berkata, "Nak, pakcik dulu dengan isteri pakcik, pergi ke mana-mana saja tetap berdua. Tetapi, isteri pakcik baru meninggal lima bulan yang lalu.

"Kami lebih kurang sebaya. Sebelum ini kami bekerja sebagai guru, sekarang dah bersara. Bila dah bersara, kami pergi ke Mekah bersama. Kami tinggal berdua di rumah sebab anak-anak kami seramai enam orang itu semua sudah berkahwin dan tinggal di rumah masing-masing. 

"Isteri pakcik mengidap penyakit kencing manis dan darah tinggi. Setiap hari kena makan ubat. Dia selalu kurang cergas dan pakciklah yang menjaganya. Kini dia telah tiada, pakcik terasa keseorangan. Siang pakcik rasa terlalu panjang dan bila menjelang malam, terasa sunyi. Tiap-tiap satu benda kepunyaan arwah mengingatkan pakcik kepadanya. Sebak dan sedih melihat ubat-ubat yang masih belum dimakannya. Ada nombor handphone dia tetapi pakcik tahu dia takkan jawab panggilan pakcik dan mesej WhatsApp kepadanya juga dia takkan baca. 

"Dulu pakcik tidur di katil di sebelah bahagian sebab dia ada di sebelah. Tetapi sekarang pakcik tidur seorang diri di tengah-tengah katil. Bila pergi ke dapur sekarang, pakcik buat sarapan. Tiada lagi dia menyediakannya. Tiada lagi kami pergi ke surau bersama-sama. Bayangkan nak, kami punyai seorang satu kereta. Sekarang kereta dia kaku tak bergerak, cuma sesekali pakcik pandu.

"Oleh itu, sementara isteri dan anak masih ada, hargailah dia dan sayangilah dia. Kita hidup sementara di dunia ini. Pakcik hari-hari ke pusaranya dan selalu berkata, 

Kau pergilah dulu, abang akan ikut kemudian

"Maaf nak, pakcik balik dulu," kata pakcik itu lalu pergi dan hilang dari pandangan. 

Si suami terpegun, terus bangun dan masuk ke pasar raya mencari isterinya. - Zainal Ahmad | The Reporter

No comments

Powered by Blogger.