'Mat Cangkul' Didenda RM5,000


KULAI - Dua beradik yang telah menyerang dan mencederakan wakil kakiangan SAJ Holding Sdn Bhd (SAJ) minggu lalu, mengaku bersalah, lapor Harian Metro

Youzairy Ya'acob, 36, dan adiknya Mohd Youzaimeer, 29, mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman denda RM5,000 setiap seorang. 

"Sepatutnya kami adik beradik berbincang dengan lebih matang dalam isu bayaran bil, bukan isu besar pun yang perlu kami menggunakan kekerasan. Mahkamah ingin ingatkan bahawa keganasan bukan caranya," kata Majistret Ahmad Farid Ahmad Kamal yang juga berhadap kedua tertuduh insaf selepas tujuh hari ditahan reman di dalam lokap.

Youzairy, bapa kepada dua orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 351 Kanun Keseksaan, dijatuhkan hukuman denda RM1,000 atau tiga bulan penjara bagi pertuduhan menyerang Muhammad Khairuzzaman Yaakub, 30, menggunakan sebatang cangkul. Selain itu, Youzairy turut didenda RM2,000 atau empat bulan penjara bagi pertuduhan kedua iaitu sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Aysraf Abd Ghani, 20. 

Selain itu, Youzairy dan Mohd Youzaimeer turut didenda RM2,000 atua empat bulan penjara setiap seorang selepas mereka mengaku bersalah bagi tuduhan bersama-sama menyebabkan kecederaan pada Muhammad Khairuzzaman. 

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang turut dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. 

Mohd Youzaimeer juga turut didenda RM3,000 atau empat bulan penjara bagi pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Asyraf dengan menggunakan topi keledar mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. 

Kedua-dua tertuduh yang diwakili oleh peguam Haniza Yazed, membuat rayuan bagi meringankan hukuman kerana Youzairy kini tidak bekerja selepas insiden berkenaan. 

"Dia mempunyai dua anak dan isteirnya berkerja sebagai pembantu kedai makan. Sebelum ini dia mempunyai pendapatan RM1,600 sebulan tetapi kini sudah tidak bekerja kerana diberhentikan oleh majikan. Manakala Youzaimeer pula belum berkahwin dan bekerja," katanya. 

Menurut Haniza, tertuduh berasal dari keluarga yang tidak berkemampuan dengan kedua ibu bapanya masing-masing sudah berusia 63 dan 71 tahun. 

"Mengenai kejadian itu, tertuduh insaf dengan perbuatan meerka, namun apa yang menyebabkan kedua-duanya hilang sabar apabila tindakan memotong bekalan air itu membabitkan rumah kedua ibu bapa mereka yang tidak mampu membayar bil air," katanya. 

Youzairy dan Youzaimeer melakukan kesalahan itu pada 11.45 pagi, 18 Oktober lalu di M-231-1, Kampung Melayu yang menyebabkan kecederaan pada dua wakil kakitangan SAJ yang kemudiannya viral di media sosial.

Artikel berkaitan:

No comments

Powered by Blogger.