'Memang Dia Begitu Sejak Lahir'


Tidak semua orang dilahirkan sempurna dan yang pastinya mereka juga tidak meminta untuk dilahirkan seperti itu. Tatkala kita yang sempurna melihat mereka, usahlah memberi pandangan yang pelik dan terkejut. Pandanglah dan layanlah mereka yang istimewa ini seperti manusia biasa. 

Muncul di timeline Twitter, seorang gadis bernama Ain, berkongsikan luahan ibunya. Sedih dan terharu juga membaca pengorbanan keluarganya yang tidak mampu kita bayangkan. 

Ain berkata, keluarganya telah banyak berkorban dari segi wang dan masa semenjak dia dilahirkan. Pengorbanan mereka itu membuatkan dia tidak tahu bagaimana nak membalas semua itu. Namun, dia akan pastikan yang keluarganya akan berbangga ada anak seperti dirinya. 

Baca luahan ibunya, Puan Ridani Ashari di bawah: 

Selama ini, ramai yang tanya kenapa dengan Ain. Selalunya mama jawab, "Memang begitu sejak lahir."

Pernah muat naik gambar bersama Ain di Facebook. Ada yang berikan komen kenapa muka Ain begitu? Memang realitinya dia tidak sempurna tetapi sebagai manusia yang punya hati dan perasaan, mungkin ada bahasa yang lebih elok dan sedap didengar. Sebab itu mama jarang upload gambar Ain. Bukan malu, tetapi untuk menjaga hatinya. 

Ain dilahirkan tanpa bibir atas, tanpa lelangit, tanpa tulang pipi, tanpa sebahagian gusi dan muka terbelah dari mata sampai ke mulut. Gambar ini adalah gambar selepas dua kali pembedahan, dah cantum tulang pipi. 

Cukuplah masa di kecil dulu ada orang yang selalu berkata bukan-bukan. Sekarang kalau nak cakap, cakaplah apa saja pun sebab kita dah tak kisah. 

Hari ini mama berkongsi gambar semasa baby. Dia anak yang baik, sentiasa positif, tak pernah malu dengan keadaan diri dia dan seorang yang berdikari. Kalau ingat, kasihan, berbelas kali buat pembedahan. Ada juga pembedahan yang tidak berjaya tetapi kami tetap usaha untuk dia jadi seperti kita yang normal ini. 

Masa Paralimipik Rio hari itu, kami bergurau-gurau bersembang. 

"Kak, kalau kau kuat lari, mesti dapat pingat emas dah, dapat pencen, dapat duit banyak," 

Cuma nak pesan pada ibu bapa yang ada anak-anak istimewa, jadikanlah mereka yang terbaik untuk diri mereka sendiri. Mama dan ayah tak mengharapkan apa-apa. Cuma berharap nanti bila kita dah tak ada, dia mampu berdikari. 

Bagi dia pilihan untuk diri dia sendiri yang dia rasa dia mampu buat. InshaAllah setiap kepayahan, setiap kesedihan kita mesti ada hikmahnya. Jangan tanya lagi, mata dah masuk habuk. - Ridani Ashari | The Reporter

No comments

Powered by Blogger.