Mulai 1 November Ini, Minyak Masak Dijual Mengikut Harga Pasaran


PUTRAJAYA - Berkuat kuasa mulai 1 November ini, harga minyak masak akan dijual mengikut harga pasaran, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainuddin. 

Bagaimanapun, bagi memastikan golongan sasar yang memerlukan dapat menikmati subsidi kerajaan, kerajaan mengekalkan harga minyak masak yang dijual dalam paket 1 kilogram pada harga sekarang, RM2.50 setiap satu. 

"Saya nak umumkan, harga minyak masak (1kg) dikekalkan sebanyak RM2.50 sekilogram," katanya semalam. 

Menurut Hamzah, penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak, harga mengikut harga pasaran adalah bagi mengelakkan kerajaan menanggung kos subsidi hampir RM100 juta sebulan, susulan kenaikan harga minyak olien (minyak sawit diproses). 

"Pada Januari 2015, harga olien adalah RM2,341 setiap tan. Namun pada September lalu, ia mencecah RM3,000. 

"Langkah ini bertuju mengurangkan pengeluaran minyak masak di sempadan susulan pembelian minyak masak bersubsidi oleh warga negara jiran," katanya. 

Terdahulu, media melaporkan subsidi minyak masak akan dihapuskan mulai bulan depan dan bakal menyebabkan harganya meningkat di pasaran. Laporan itu juga telah mencetuskan pembelian panik di kalangan pengguna menyebabkan berlaku kekurangan bekalan di kedai dan pasar raya. - The Reporter

No comments

Powered by Blogger.