RM5,100 Habis Dibelanjakan Untuk Perubatan Islam, Tetapi Penyakit Tak Hilang - Mangsa


MELAKA - "Rasa-rasanya, kalau banyak duit nak bawa ibu bapa berubat, bolehlah cuba di sini. Hahaha!" demikian kata mangsa yang memuat naik gambar bil perubatan yang didakwanya tidak masuk akal. 

Menurut mangsa, harga yang dikenakan oleh Pusat Perubatan Islam ini tidak masuk akal dan dipercaya menggunakan nama Islam sebagai kepentingan diri, sekali gus memalukan Islam. 

"Dalam keadaan terdesak 11 Oktober 2016, saya telah membawa ibu saya untuk berubat kerana sakit kaki, yang man pihak hospital pun tidak tahu punca kesakitannya. Saya terfikir untuk mencuba kaedah perubatan Islam lalu pergi ke pusat perubatan berkenaan. 

"Sampai ke tempat itu, tampil seorang lelaki memperkenalkan dirinya sebagai Am, memaklumkan bahawa perubatannya yang diberikan adalah berbayar. Saya pun tak kisahlah sebab nama perubatan Islam. 

"Pada mulanya, saya kena bayar RM300 untuk scan penyakit, katanya. Mula-mula rasa berat, tetapi bila fikir akan penderitaan ibu, saya pun kumpullah duit dengan abang, isteri saya maka dapatkan RM300 lalu dihulur kepada lelaki itu. Katanya, rawatan susulan adalah percuma. 

"Selepas pemeriksaan, dia menyenaraikan penyakit-penyakit yang dihadapi oleh ibu, Banyak juga yang disenaraikan. Kemudian dia tanya, nak berubat tak? Sudah tentulah nak berubat sebab datang jauh-jauh sampai ke Serkam, Melaka.

"Selepas itu dia keluarkan harga caj rawatan penuh mencecah RM32,000 lebih! Saya dah mula panas hati, mahal mak datuk. Selepas itu dia bagi pengurangan, harga turun ke RM22,000 dengan alasan itu adalah caj bagi dia yang akan menanggung risiko merawat ibu saya. 

"Saya dah ajak balik, tetapi ibu saya tak tahan sakit. Dia bagilah rantai tangan dia yang harganya lebih kurang RM4,000 semasa beli. Sebab nak rawat ibu punya pasal, saya pun ikutlah. Dia kata, ini baru suku rawatan, belum sepenuhnya. 

"Selesai itu, dia pun cakaplah macam-macam tentang penyakit itu. Ibu ajak balik tetapi bila saya tanya ibu saya okay atau tidak, ibu hanya mendiamkan diri. Bila berada dalam kereta, ibu kata sakitnya masih ada dan tiada sebarang perubahan. Semakin sakit adalah.


"Sampai ke hari ini, sakit di kaki ibu masih berterusan dan sekarang saya berada di Jabatan Kecemasan dari pagi tadi. Masa nak balik dari rumah Am itu pun dia tanya, tak nak beli air yassin ke untuk dibuat minum dan mandi pada ibu esok pagi. Tahu berapa harga satu botol 1.5 liter air yassin dia? RM40 sebotol! Saya beritahu dia yang saya pun tiada duit, lalu dia berikan secara percuma saja," katanya. 

Mangsa yang tidak didedahkan nama itu berharap, tiada lagi yang akan menjadi mangsa pihak yang menjual agama demi kepentingan diri mereka ini. 

"Jangan ada yang terkena lagi. Duit hilang tetapi penyakit tak hilang.  Dan tadi lelaki itu ada mesej saya suruh buat rawatan susulan, memang tidaklah. 

"Insaflah wahai Am, jangan gunakan agama sebagai mata pencarian rezeki awak dengan mengenakan caj sesuka hati. Allah beri kelebihan untuk membantu orang, bukan dengan cara begini," katanya.



Ekoran viralnya aduan mangsa di laman sosial, difahamkan beberapa pegawai dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPNKK) telah menyerbu dan menjalankan siasatan. Namun, pusat perubatan berkenaan dengan angkuhnya mengatakan bahawa mereka mempunyai segala dokumen sebagai bukti bagi menjawab segala pertanyaan pegawai KPDNKK. 

"Alhamdulillah, tiada tindakan undang-undang dikenakan terhadap kami," katanya. - The Reporter

No comments

Powered by Blogger.