'Saya Dimarahi Kerana Menegurnya Menyalahgunakan Tandas OKU' - Ras Adiba


22 Oktober 2016, jam 9:42 malam, tandas OKU berhampiran Food Court, Blok A, Pantai Medical Centre, Bangsar.

Gadis ini memarahi saya kerana merakam gambarnya tatkala menggunakan tandas OKU. Dia meninggikan suara dan mengatakan bahawa, 

Bukannya OKU ada guna 24 jam jadi kenapa dia tidak boleh!

Gadis muda ini berang kerana suami saya merakam gambarnya keluar dari tandas OKU. (Ini sebagai bukti bahawa orang normal menyalahgunakan tandas OKU). Saya bertanya sama ada dia OKU, tetapi dia menjerit dan mempertikaikan mengapa kami merakam gambarnya. Saya jelaskan yang saya mahu memastikan tandas OKU tidak disalahgunakan. Namun dia menjerit dan berkata, bukannya OKU ada guna tandas itu 24 jam, jadi mengapa tidak dia gunakan?

Saya jelaskan dia tidak boleh menyalahgunakan tandas berkenaan, sebaliknya dia sepatutnya menggunakan tandas bagi orang normal yang berada di sebelah pintu saja. Malangnya dia terus menjerit dengan biadab pada saya dan menegaskan bahawa tiada salahnya dia menggunakan tandas OKU. 

Saya kata saya akan buat aduan dan dia pula berkata yang dia tidak kisah, malah mencabar saya untuk berbuat demikian. 

Kemudian saya masuk ke dalam tandas dan terdengar suara yang biadab bertanya pada anak-anak dan pembantu saya mengapa kami merakam gambar rakan mereka. Saya keluar dari tandas dan menjelaskan kepada mereka bahawa, orang yang normal perlu menghormati fasiliti yang sediakan khas untuk golongan OKU. Namun mereka tidak mahu mengalah dan mempertahankan rakan mereka. 

"If you're not disabled then please don't ask to be disabled. Ada sebabnya mengapa toilet OKU dibina untuk golongan seperti kami," kata saya kepada mereka. 

Namun mereka enggan mengalah dan meninggikan suara terhadap saya.

Hal ini boleh diselesaikan dengan baik sekiranya gadis itu tadi meminta maaf di atas kesilapannya dan tidak berkelakuan biadab serta ego. Jika saya tidak mempertahankan hak orang OKU, sampai bila-bila masalah ini tetap akan berlaku. Apabila seseorang menyalahgunakan fasiliti yang dibina khas untuk golongan OKU, malah berani mempertikaikan hak OKU, itu bermakna anda sudah melampaui batas. 

Saya percaya saya patut buat anda famous dan saya akan maklumkan kepada komuniti saya agar berhati-hati dengan anda dan orang seperti anda. 

28 Oktober 2016

Beberapa hari lalu saya paparkan kisah gadis yang tidak sopan terhadap saya & kemudahan OKU. Ceritanya diviralkan. Rakyat dalam & luar negara beri komen. Ada yang sokong & ada yang kata tidak baik saya mengaibkan orang di khalayak. 

Untuk pengetahuan semua, saya tidak suka memburukkan orang. Tetapi kali ini saya hilang sabar. Sampai bila kami harus di maki-hamun dan diperlekehkan. Hak kami tidak dihormati! 

Berbalik pada insiden itu, saya lakukannya kerana sikapnya yang angkuh, ego dan tidak menghormati kemudahan kami. Beliau dan dua rakannya berteriak di depan anak-anak saya yang saya ajar menghormati kami dan kemudahan kami. Sekiranya beliau mengakui kesilapannya, perkara ini takkan berlanjutan. 

Saya pesakit Saraf Tunjang atau Spinal Cord Injury yang lumpuh separuh badan atau Paraplegic paras T10. Kalau kerap kali kami terpaksa tunggu untuk ke tandas akan membawa kepada infeksi pundi kencing/urinary tract infection. 

Hari itu saya tidak menggunakan beg air kencing atau lampin. Segan saya nak bercerita di sini, tapi kerana dia menggunakan tandas OKU (walaupun tandas sebelah kosong pada waktu itu) saya TERKENCING di dalam seluar dan kerusi roda saya basah. 

Cuba anda bayangkan. Mana saya nak letak muka? Apalah tinggal pada maruah saya?! Saya 48 tahun dan tidak mampu pertahankan diri saya dari dibuli daripada hendak ke tandas?! Ada dia dan rakan-rakannya ambil peduli akan masalah saya sebagai OKU? 

Terserah pada anda untuk menilai apa yang telah berlaku. Saya pohon anda memahami. Saya segan bercerita begini namun inilah realiti hidup saya dan rakan-rakan OKU tempuhi setiap hari. 

Justeru di Jumaat yang mulia ini, saya dengan rendah dirinya, memohon maaf pada gadis yang saya pampangkan wajahnya pada hari itu. Gadis yang tidak bijak dan yang entah di mana otaknya diletakkan pada hari itu, kerana memarahi saya dan kerana tidak prihatin dengan keperluan saya. 

Saya minta maaf juga pada anda semua kerana tidak memberi pencerahan mengenai masalah yang saya alami pada saat itu. Saya malu, malu kerana terpaksa berkongsi keadaan sebenar saya pada waktu itu. Biarlah saya yang mengalah. 

Doa saya pada si gadis, moga anda tidak akan menjadi OKU seperti saya! Assalamualaikum. (Kongsilah pengalaman saya agar menjadi iktibar) - Ras Adiba Radzi | The Reporter

No comments

Powered by Blogger.