'Saya Terpaksa Merantai Cucu'


TUBAN, INDONESIA - Seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun ditemui dirantai dalam keadaan bogel oleh keluarganya sendiri di sebuah bilik kecil bersebelahan dengan kandang kambing, lapor Harian Metro

Mei Dias Jati Irawan atau nama panggilannya, Medi, yang dipercayai mengalami autisme, dirantai oleh neneknya sejak dua tahun lalu di sebuah rumah di Dusun Ngulahan, Tambakboyo. 

Neneknya, Sumirah, 60, berkata, dia terpaksa berbuat demikian kerana cucunya itu terlampau aktif sehingga menganggu jirannya. 

"Kalau tidak dirantai, dia akan merosakkan semua benda yang ada di sekitarnya termasuk milik jiran. Keadaan itu menyebabkan saya terpaksa merantai tangan dia agar mudah untuk mengawalnya ketika dibawa ke mana-mana," katanya. 

Lapor portal JPNN.com, ibu bapa Mei Dias Jati Irawan telah bercerai. Semenjak dari itu, bapanya, Suwarno, tidak pernah sesekali datang menjenguk anaknya itu. Manakala, ibunya, Suyati, berkahwin dengan suami barunya, Sucipto, dan hanya pulang setahun sekali melawat anaknya itu ketika cuti hari raya. 

Sehingga kini, tidak diketahui Suyati berada di mana. Namun menurut Sumirah, anaknya itu mungkin menetap di Surabaya. 

Kepulangan Suyati selalu menjadi saat yang istimewa bagi kanak-kanak itu. Dan apabila ibunya berada di rumah, dia akan mahu memakai pakaian dengan lengkap dan bermanja-manja dengan ibunya. 

Perilakunya yang manja itu menunjukkan betapa dia perlukan kasih sayang seorang ibu. Namun, apabila ibunya terpaksa pergi ke perantauan, sifat memberontak dia kembali dan pada ketika itu, habis semua pakaian yang dipakainya dibuka dan dibuang. 

"Sebenarnya Medi adalah kanak-kanak yang normal dan tidak pernah mengalami sakit yang seirus. Yang membezakan Medi dengan kanak-kanak lain sebayanya ialah, dia terlalu aktif dan tidak pernah duduk diam. 

"Kalau Medi diasuh dan diberi pendidikan yang baik, mungkin keadaannya tidak seteruk ini," katanya Sumirah. 

Menurut laporan Berita Metro, Sumirah menafikan dakwaan kononnya Medi dirantai setiap masa.

"Medi hanya diikat sementara sahaja ketika saya keluar sebentar pergi kekedai, bekerja mencari rumput atau melakukan kegiatan memasak, mencuci dan membersihkan rumah. 

"Tambahan pula, cucu saya ini sejak dari kecil lagi bisu, tuli dan hiperaktif dan mengalami masalah mental. Saya mengikat dia kerana mahu melindungi dia. Saya takut cucu saya lari keluar dari rumah dan terjadi sesuatu yang tidak diingini. Rumah saya di atas gunung, banyak batu-batuan. Jika urusan saya sudah selesai, saya akan lepaskan dia," jelas Sumirah. - The Reporter

No comments

Powered by Blogger.