Selesaikan Pertikaian Atau Kami Ambil Mereka - Rohani


PUTRAJAYA - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan campur tangan sekiranya hak penjagaan dua beradik yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat nahas jalan raya di Lebuhraya DUKE, Mei tahun lalu gagal diselesaikan anggota keluarga, lapor Bernama.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, beliau kecewa dengan perebutan hak penjagaan Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 8, dan adiknya, Nur Firuza Aqilah, 5. 

"Kami memang ada hak mengambil penjagaan anak ini (diletakkan di institusi kebajikan) bagi kepentingan kanak-kanak itu. Namun ia adalah pilihan terakhir. Apa yang saya utamakan ialah mereka diberi kasih sayang sepenuhnya," katanya. 

Menurut Rohani, beberapa hari selepas kemalangan tersebut, anggota keluarga dua beradik berkenaan bersepakat menyerahkan hak penjagaan kepada seorang anggota keluarga. Namun kini mereka pula bertelagah mendapatkan hak penjagaan. 

"Pada masa itu mereka memberi jaminan kepada kami. Ketika itu saya amat gembira kerana ahli keluarga sepakat menjaga dua beradik berkenaan dan JKM mahu hak penjagaan diberikan kepada ahli keluarga terdekat. 

"Kini, apa yang berlaku amat mengecewakan. Ini adalah pertikaian keluarga dan saya harap mereka dapat menyelesaikan masalah yang timbul supaya berada pada keadaan terbaik untuk menjaga dua kanak-kanak itu," katanya. 


Amira dan Aqilah kini dibawah jagaan Yusnidah Hussain, 48, kakak Allahyarham Fairuz Niza yang mendapat hak penjagaan sementara daripada mahkamah. 

Namun, berlaku pertikaian berkaitan wang sumbangan orang ramai antara Yusnidah dengan adik beradiknya menyebabkan masalah itu dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur. 

No comments

Powered by Blogger.