'Setiap Iklan Saya Cuma Dapat 20 Sen Saja Bang'



Minggu ini saya sibuk dalam urusan pendaftaran syarikat baharu majikan saya. Jadi, masa saya banyak di luar pejabat dan tengah hari kelmarin saya bersama PA bos saya ke pejabat peguam atas urusan tersebut.

Usai tugasan, kami menikmati minum petang. Memang sedap menikmati air lemon madu panas dengan roti bakar. Kebetulan pada masa itu hujan, jadi kami makan sambil berbual-bual kosong. Saya perhatikan bahawa kami mempunyai perspektif dan sudut pandang berbeza mengenai sesuatu isu biarpun kami dalam pangkat yang sama. 

Dia melihatnya dari sudut feminin dan bujang, dan dalam ruang lingkup bangsa dan agama yang berbeza. Saya menghormati sudut pandangannya yang jauh berbeza berbanding saya kerana kita berfikir dan bertindak mengikut situasi kita sendiri. 

Saya teringat tentang kisah perbezaan sudut pandang ini ketika sedang bersarapan pagi di restoran mamak di kawasan kejiranan saya suatu ketika dahulu. Setelah menghantar anak ke kelas agama, saya singgah bersarapan bersendirian. Kebetulan pada hari itu restoran agak sesak dan saya berkongsi meja panjang dengan pelanggan yang lain. Saya jarang bermain telefon ketika makan. Sebaliknya suka membaca akhbar atau memerhatikan gelagat orang ramai. 

Mata saya tertancap pada kelibat seorang lelaki yang sedang memasang 'bunting' iklan peminjam wang (Ah Long). Dia memaku iklan itu di beberapa pokok di kawasan itu. Usai memasang iklan, dia menaiki sebuah kereta yang menunggunya dan berlalu. Saya perhatikan dia memasang iklan agak rapat antara satu sama lain. Kira-kira berselang dua pokok sahaja. 

10 minit berikutnya, dia dan rakannya itu singgah makan di restoran itu. Kebetulan mereka duduk bersebelahan saya. Peluh menitik membasahi muka dan bajunya. Dia duduk sementara rakannya yang berbangsa Cina pergi ke tandas. Kami berpandangan dan saling memberi senyuman. 

"Banyak pasang iklan hari ini?" tegur saya memulakan perbualan. 

Dia agak gugup dan berhati-hati dalam menjawab soalan saya. Saya sengaja bercerita mengenai diri saya yang tinggal di kejiranan itu dan kebetulan minum di situ kerana kilang saya tidak bekerja pada hari Sabtu dan Ahad.

Dia tampak lega, barangkali risau jika saya adalah anggota polis atau mana-mana penguatkuasa yang menyamar. Apabila keadaan bertambah selesa untuk berbual, saya bertanya mengenai kadar bayaran upahnya memasang iklan tersebut. Iyalah, saya kan orang HR, faktor upah adalah faktor utama dalam kesanggupan seseorang bekerja. 

Anak muda berasal dari Tawau, Sabah itu menyatakan dia diberi upah 50 sen untuk setiap poster yang dipasang. Sehari dia akan memasang sekitar 50 hingga 100 iklan di kawasan yang ditetapkan. 

"Wah! Lumayan! Kerja dalam dua jam saja dah dapat RM25 ke RM50," kata saya. Namun dia tersenyum kelat.

"Tetapi susah itu bang. Saya ini bukan gaji bulanan. Ada kerja, adalah gaji bah. Saya buat ini untuk tambah duit belanja keluarga. Isteri saya kerja kilang, syif 12 jam. Saya lagi jaga anak di rumah. Dapat duit kena bayar rumah, belanja anak sekolah, bayar bas sekolah lagi. Ada lebih mau belanja dapur lagi, mau hantar duit sama 'beliau' di kampung lagi bah. 

"Nak datang kerja ni, anak kecil saya ditinggalkan dengan jiran. Kena bayar RM5 sejam. Jadi saya kena cepat-cepat habiskan kerja dan balik. Kalau lebih 10 minit pun dikira RM5 juga bang," katanya. 

"Dapat RM50, tolak RM15 untuk upah orang jaga anak. Masih ada RM35. Itu dah banyak juga untuk kerja dalam tiga jam," kata saya menyedapkan hatinya. 

"RM50 itu kalau siap pasang 100 iklan bang. Tetapi selalunya tak dapat sebab ada kawasan yang ada polis meronda atau majlis perbandaran buat operasi buang iklan. Kita pasang mana yang sempat saja bah. Kalau nampak polis atau penguatkuasa, kita kena cepat-cepat lari sebelum ditangkap dibawa pergi ke balai bang.

"Ada tempat kita tak boleh pasang sebab itu kawasan 'taiko' lain yang pegang. Ada taiko lain tak kasi kita tampal tempat sama dia tampal. Kalau tampal, nanti dia buang iklan kita atau pukul kita.

"Dah dapat RM50 kena kongsi lagi bang. Setiap iklan saya cuma dapat 20 sen sebab itu tauke suruh dia punya 'partner' ikut saya pasang. Pakai dia punya kereta dan dia yang 'confirm' berapa pasang. 30 sen dia punya, 20 sen saya punya. Tetapi alhamdulillah bos Cina saya ini selalu bagi lebih. Kadang-kadang dia langsung tak ambil bahagian dia. Dia tahu saya orang susah," ceritanya terhenti apabila dia melihat rakan kerjanya sudah keluar dari tandas. 

Dia berpura-pura tidak mengenali saya dan memandang ke arah lain. Saya pula berpura-pura makan sambil sesekali melihat telefon. 

Sebenarnya banyak yang saya ingin tanyakan mengenai dunia Ah Long ini. Sebagai orang yang tidak terdesak untuk mendapatkan perkhidmatan mereka, sudut pandangan saya dan anda tentulah beranggapan bahawa dunia mereka sangat kotor dan kejam. iyalah, di media massa sering mewar-warkan bahawa Ah Long ini sering mengenakan kadar faedah yang tidak masuk akal untuk menjerat pelanggan mereka. Malah, sering ditunjukkan kisah pelanggan yang didera dan diancam akibat gagal membayar hutang. Tidak kurang juga ada kes pembunuhan kejam!

Namun melalui sudut pandang lelaki ini, Ah Long ini menawarkan dia kerja mudah untuknya menambah pendapatan keluarga. Tambahan pula majikannya itu selalu membantunya. Jadi saya tidak mahu menghakimi sesiapa. Setiap orang diberi ujian yang berbeza dalam hidup dan pendekatan menanganinya pula turut berbeza berngantung peluang, akal dan iman masing-masing.

Pesan saya, jauhilah yang haram dan menyalahi undang-undang kerana kebebasan dan nyawa kita serta keluarga tiada galang gantinya. - The Reporter

No comments

Powered by Blogger.