(Video) Breaking Mews! Kucing Sesat 'Ganggu' Siaran Langsung Stesen TV Di Turki


TURKI - Seekor kucing sesat menjadi terkenal selepas 'kemunculannya' dalam program siaran langsung sebuah stesen televisyen di negara itu, lapor Daily Mail.

Kucing yang comel dan terbiar itu pada mulanya duduk di kerusi sebelum melompat naik ke atas meja Kudret Celebioglu, penyampai rancangan Good Morning Denizli, di stesen televisyen DRT. 

Celebioglu yang pada ketika itu sedang membaca tajuk berita hari ini, terkejut melihat kehadiran kucing berkenaan yang kemudian melompat ke atas longgokan akhbarnya. 

Kucing itu kemudian mendekatinya dan meminta untuk dibelai serta diberikan perhatian, sebelum merebahkan badannya di laptop lelaki itu untuk memanaskan badan. 

Dalam masa yang sama, Celebioglu memaklumkan kepada para penonton bahawa dia mempunyai 'tetamu' istimewa hari ini. Malah dia turut memberi peringatan kepada semua penonton agar tidak lupa memberikan makanan dan tempat perlindungan bagi haiwan-haiwan terbiar ini menjelang musim sejuk yang bakal tiba. 


Difahamkan, kucing itu berjaya masuk ke dalam studio melalui pintu yang tidak ditutup tanpa disedari oleh pihak kru. 

Selepas tamat rancangan itu, kucing itu dijadikan sebagai 'kakitangan' stesen televisyen berkenaan dan diberikan nama Husnu.  - The Reporter

No comments

Powered by Blogger.