4 Beradik Hidup Dengan Makan Hasil Persundalan

Empat tertuduh mengaku tidak bersalah - Foto Berita Harian
MELAKA - Empat beradik yang juga merupakan anak seorang pegawai kanan polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh semalam, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan eksploitasi dan hidup hasil daripada persundalan dari tiga perempuan, Ogos lalu. 

Tertuduh, Mohd Syibri Mazlan (29), Muhammad Suhail Mazlan (26), Muhamad Syahiran Mazlan  (25) dan Muhammad Syahfiz Mazlan (24), meminta dibicarakan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Norma ISmail. 

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, kesemua tertuduh didakwa memperdagangkan perempuan berusia antara 18 hingga 20 tahun bagi eksploitasi seks, mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. 

Bagi perbuatan itu, mereka boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan. 

Bagi pertuduhan pilihan, tertuduh pertama Muhamad Suhail didakwa bersubahat bersama tiga lagi adik-beradiknya hidup hasil daripada persundalan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 372A KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan seterusnya, Muhamad Syahfiz, Mohd Syibri dan Muhamad Syahiran masing-masing didakwa hidup hasil daripada persundalan tiga gadis berkenaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 372A KK.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di D'Village Resort, Ayer Keroh di sini, pada 10.45 malam, pada 26 Ogos 2016.

Kesemua kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di sebuah resort di Ayer Keroh pada jam 10.45 malam, 26 Ogos 2016. 

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd. Rawi tidak menawarkan sebarang jaminan dengan mengambil kira kesalahan ATIPSOM dilakukan dan mangsa adalah warganegara Malaysia.

"Sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara, saya menawarkan jaminan sebanyak RM40,000 setiap seorang berserta syarat menyerahkan pasaport antarabangsa kepada mahkamah dan perlu melapor diri di balai polis setiap bulan," katanya.

Tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork, merayu kepada mahkamah agar jumlah jaminan dikurangkan kerana keempat-empat beradik itu hanya menjalankan perniagaan kecil-kecilan, manakala Muhamad Suhail bakal melangsungkan perkahwinan pada awal bulan depan. 

"Yang Arif, mereka hanya berniaga kecil-kecilan manakala ibu pula suri rumah. Mereka hanya bergantung kepada pendapatan bapa yang merupakan seorang penjawat awam.

"Salah seorang daripada mereka bakal berkahwin pada 2 Disember ini. Oleh itu saya memohon ihsan mahkamah supaya membenarkan mereka diikat jamin kerana majlis itu akan dihadiri oleh adik-beradik yang lain," katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh jamin RM40,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 8 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Sumber: Harian Metro | Kosmo

No comments

Powered by Blogger.