Akan Datang, Orang Ramai Boleh Buat Laporan Polis Secara Online


KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menerima laporan dalam talian, di mana Kementerian Dalam Negeri kini sedang mengkaji projek perintis berkenaa, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan, lapor Free Malaysia Today (FMT).

"Orang ramai mungkin tidak perlu pergi ke balai polis untuk memfailkan laporan lagi. Laporan boleh dibuat dari mana-mana sahaja sama ada melalui telefon bimbit atau komputer mereka dengan mudah," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Khoo Soo Seang (BN-Tebrau) yang ingin mengetahui jika PDRM sedang mencari jalan untuk beralih daripada kaedah tradisional dalam membuat laporan di balai polis kepada memfailkannya di dalam talian. 

Bagaimanapun, projek itu belum dapat dilaksanakan berikutan terdapat halangan untuk mendapatkan tandatangan mangsa atau pengadu. 

"Masalahnya ialah, bagaimana kita mahu memastikan tandatangan terhadap setiap laporan itu," kata Nur Jazlan sambil menambah satu penyelesaian yang ditawarkan adalah untuk membolehkan tandatangan digital pada laporan. 

Tinjauan wartawan FMT di internet mendapati, satu-satunya pasukan polis di dunia yang berjaya melaksanakan laporan dalam talian adalah Jabatan Polis Houston (HPD) di Texas, Amerika Syarikat. 

Menurut maklumat di laman web HPD, selepas melengkapkan maklumat yang diperlukan, pengadu akan menerima nombor laporan dan boleh mencetaknya sebagai simpanan rekod peribadi mereka. 

Namun begitu, kemudahan laporan dalam talian itu hanya untuk aduan seperti kes-kes kecurian (nilai maksima US$5,000, tiada kenderaan dikaitkan) dan aktiviti jenayah seperti vandalisme atau kerosakan harta di mana tiada suspek atau saksi. 

Malah, pengadu juga diberikan peringatan oleh laman berkenaan agar tidak membuat laporan palsu kerana perbuatan itu adalah satu jenayah. 

No comments

Powered by Blogger.