Bayi Usia 5 Hari Diculik Pasangan Suami Isteri Dari Hospital

Pasangan suami isteri yang didakwa menculik bayi berusia 5 hari.

KOTA BHARU - Seorang bayi perempuan berusia lima hari diculik satu pasangan suami isteri berusia 20-an dari Hospital Tanah Merah, malam tadi, lapor Berita Harian

Kehilangan mangsa hanya disedari oleh bapanya, Mohd Ihtisyamuddin Mohd Ashri, 29, pada jam 9 malam selepas mahu melihat anak keduanya itu lahir pada Khamis lalu. 

"Saya terkejut bila tiba di hospital, isteri saya, Siti Norbaiti Bahanaharing, 26, menangis dan memaklumkan anak kami hilang. 

"Saya terus mendapatkan pihak hospital untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan dimaklumkan bahawa anak kami dibawa keluar oleh dua individu pada jam 6.47 petang," katanya. 

Ekoran kejadian itu, Mohd Ihtisyamuddin membuat laporan polis. 

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad mengesahkan kejadian itu dan hasil siasatan mereka mendapati mangsa dibawa ke Slising, Pasir Puteh dan berada di bawah jagaan sepasang suami isteri. 

Bayi berusia lima hari yang diculik dari Hospital Tanah Merah berjaya diselamatkan | Foto - Netizen
"Hasil bantuan dari polis Pasir Puteh, bayi berkenaan berjaya diselamatkan dan pasangan terbabit ditahan untuk siasatan. 

"Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan," katanya. - The Reporter

No comments

Powered by Blogger.