Betullah Seperti Yang Dijanjikan, Rezeki Datang Melimpah Ruah Selepas Berumahtangga


Alhamdulillah, tahun ini genap 12 tahun usia perkahwinan saya yang penuh rasa cinta dan bahagia. Awal perkahwinan, gaji suami cuma RM800. Mula-mula kahwin, kami sewa rumah RM300 dengan saya yang tak bekerja. Kereta pun suami tak ada. Tidur cuma beralaskan tikar. Sofa tak ada, rumah kosong belaka sampai bila bercakap pun bergema seperti dalam gua. Hehe! 

Kami makan apa saja yang ada. Saya tak pernah mengeluh, semua mengikut kemampuan suami. Kalau beritahu suami lauk tak ada, yang ada hanyalah bawang sahaja,

"Masaklah bawang..." kata suami. 

Maka saya masaklah nasi goreng bawang. Saya tak nak susahkan suami sedangkan dia juga susah hati bila lauk tak ada nak bagi anak isteri makan. Tidak sesekali saya marahkan dia kerana tidak mampu sediakan semua itu. Cuma senyum dan masaklah seadanya, asalkan kenyang, syukur alhamdulillah. 

Selepas tiga tahun berkahwin, kami dikurniakan dua orang putera. Rezeki suami naik pangkat dan kami dapat membeli rumah baru. Alhamdulillah dengan akaun 2 EPF, dapatlah kami keluarkan duit buat beli perkakasan rumah. Duit itulah kami merasa set katil baru, sofa, peti ais, kitchen cabinet, meja makan bagai.

Syukur rezeki bertambah bila dapat anak ketiga. Dapat pula puteri, bertambah lengkap keluarga kami. Ketika puteri kami berusia 6 bulan, suami ditawarkan kerja separa kerajaan. Dapatlah gaji dekat RM5,000. Merasalah kami kereta baru pula, sesuai dengan keluarga besar kami. 

Betullah seperti yang dijanjikan hidup berumahtangga rezeki akan datang melimpah ruah. Yang penting susah senang bersama dan saling membantu. 

Walaupun saya tidak bekerja, suami sebelum keluar bekerja, dia akan membantu membasuh dan menyidai pakaian. Petang, dia akan angkat jemuran dan lipat pakaian. Dia tidak pernah bersungut dan saya tidak pernah menyuruh, malah kami saling berterima kasih. Sampai anak-anak pun terikut kalau belanja anak apa-apa ketika bershopping. Bayar saja di kaunter, semua kata, "Terima kasih ayah, terima kasih ibu," sampai senyum akak-akak kaunter. Hehe!

Alhamdulillah Allah memakbulkan doa saya. Saya selalu berdoa Allah kurniakan imam buat saya yang dapat memimpin saya ke syurga. Syukur sangat-sangat. 

Apa yang saya nak cakap di sini, kita janganlah mengeluh bila kita susah tetapi tempuhilah bersama-sama. Dalam rumah tangga kena banyak bersabar dan berdoa. Doalah senjata yang kita ada sebagai isteri dan ibu. 

Janganlah selalu menyusahkan suami, meminta yang suami tidak mampu. Tetapi berusaha menggembirakannya, hiduplah dengan positif dan bahagia. 

Saya tidak pernah kisah walau seurat gelang emas pun suami tak pernah belikan. Tetapi saya bahagia dia menjaga saya dengan penuh kasih sayang. Diam enjadi ayah yang hebat buat anak-anak. Dia menjadi imam yang hebat buat saya menuju di akhirat. Sesungguhnya saya hidup dengan penuh rasa syukur. 

Yang pahit akan manis akhirnya asalkan kita sabar dan tabah menempuhi bersama-sama. Jangan cepat mengalah dan tewas dengan dugaan dunia. 

Doakan kami bahagia selama-lamanya. Saya juga mendoakan anda bahagia dan di dalam peliharaan Allah sentiasa. - Kisah Rumah Tangga | The Reporter

No comments

Powered by Blogger.