Jangan Amalkan Rawatan Wap Air Bawang Putih Pada Bayi Anda, Bahaya!

Contoh ibu bapa yang amalkan kaedah rawatan wap air bawang | Foto - Root of Science

Oleh Root of Science

Bahaya bagi anak wap air bawang putih?

Beberapa hari yang lalu, viral di media sosial satu perkongsian seperti gambar yang dikongsikan ini. Dalam perkongisan tersebut, ada menunjukkan cara-cara untuk menghilangkan kahak pada kanak-kanak. Salah satunya adalah dengan menggunakan wap daripada air yang dicampurkan dengan bawang putih. 

Sebenarnya perkongsian yang sama juga telah viral pada tahun lalu dan ada sepasang ibu bapa yang telah mengikut cara rawatan tersebut. Hasilnya, anak mereka dimasukkan ke hospital kerana mengalami masalah pernafasan. 

Keadaan ini berlaku sebaik sahaja mereka mengikut cara rawatan viral tersebut. Mujur mereka pantas bertindak menghantar anak mereka ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Moga kejadian ini menjadi iktibar kepada ibu bapa yang lain. 

Saluran pernafasan kanak-kanak adalah sangat sensitif

Kanak-kanak mempunyai saluran pernafasan yang lebih kecil berbanding dengan orang dewasa. Ketika mana berlakunya selsema yang mungkin disebabkan jangkitan virus, saluran pernafasan kanak-kanak akan menjadi semakin kecil disebabkan lendir yang terhasil pada dinding saluran pernafasan tersebut. 

Penggunaan wap panas ang mempunyai benda asing seperti bawang putih boleh menganggu saluran pernafasan. Ini kerana lendir yang terhasil akan menjadi semakin banyak dan otot saluran pernafasan juga akan menjadi semakin sensitif. Kedua-dua perkara ini akan menyebabkan saluran pernafasan bayi menjadi semakin kecil dan menganggu pernafasan bayi.

Bagi pandangan saya, rawatan dalam perkongsian viral itu adalah sesuatu yang berbahaya untuk diamalkan. Jika orang dewasa mahu mengamalkannya, mungkin boleh. Tetapi tidak bagi kanak-kanak kecil yang masih mempunyai saluran pernafasan yang belum matang. 

Lagipun, tiada ubat yang diberi kepada kanak-kanak yang mempunyai kahak. Saya ulangi, kanak-kanak yang berusia kurang dari lima tahu, tidak perlu diberi ubat mencairkan kahak kerana kajian telah membuktikan ubat tersebut tidak berkesan bagi kanak-kanak berusia kurang dari lima tahun.

Perkongsian yang selalu viral di media sosial ini sebenarnya berbahaya untuk diamalkan - Root of Science
Oleh itu, kanak-kanak yang mengalami batuk berkahak selalunya kita nasihatkan ibu bapa untuk perhatikan sahaja anak-anak mereka dahulu. Jika pernafasan menjadi semakin laju, tidak aktif atau batuk lebih dari seminggu, maka ibu bapa perlu membawa anak berjumpa dengan doktor.

Semoga perkongsian ini bermanfaat. - Root of Science | The Reporter

No comments

Powered by Blogger.