Kemenangan Trump, Era Negara Palestin Sudah Berakhir - Israel


ISRAEL - Kemenangan calon Republican, Donald Trump, hari ini menandakan bahawa era negara Palestin sudah berakhir, kata Menteri Pendidikan Israel Naftali Bennet. 

Lapor AFP, Naftali menyeru rundingan penyelesaian dua negara yang mengusul penubuhan negara Palestin merdeka di samping negara Israel dihentikan. 

"Kemenangan Trump memberi peluang kepada Israel untuk menarik balik tanggapan sebuah negara Palestin di tengah-tengah negara ini, yang akan menjejaskan keselamatan dan perjuangan kami," katanya merujuk kepada Tebing Barat. 

"Itulah pendirian bakal presiden, era negara Palestin sudah berakhir," tegasnya. 

Tinjauan sebelum ini mendapati, sebahagian besar rakyat Israel dan Palestin menyokong penyelesaian dua negara itu yang mula diusulkan pada 1974. Rundingan terbaru pada 2013-2014 bagaimanapun kecundang apabila Israel meluaskan penempatan haram mereka di kawasan yang menjadi pertikaian antara rejim dan pihak berkuasa Palestin. 

Sementara itu, Menteri Kehakiman Ayelet Shaked dan Timbalan Menteri Luar Tzipi Hotovely menyeru Trump menunaikan janjinya memindahkan kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis. 

Warga Palestin mahu timur Baitulmaqdis menjadi ibu negara Palestin baharu, manakala warga Israel berpendirian seluruh kota suci itu adalah ibu negara mereka. 

Trump berikrar akan mengiktirafkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. - Free Malaysia Today

No comments

Powered by Blogger.