Remaja Maut Dibelasah Hanya Kerana Berebut Ayam Goreng


POKOK SENA, ALOR SETAR - Seorang remaja berusia 17 tahun maut dipercayai dipukul oleh sekumpulan penghuni pusat pemulihan akhlak hanya kerana berebut ayam goreng. 

Mangsa, Mohammad Shukri Kassim, ditemui tidak sedarkan diri oleh warden pusat pemulihan akhlak selepas mangsa tidak bangun untuk menunaikan solat Subuh.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, mangsa telah meninggal dunia ketika ditemui oleh warden pusat berkenaan. 

"Setelah menyedari mangsa tidak sedarkan diri, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat. 

"Pada awalnya, kita menjangkakan ia kematian biasa. Namun, hasil bedah siasat pihak hospital mendapati kepala dan perut mangsa telah dihentak dengan sebuah objek sehingga meninggalkan kesan," katanya. 

Lapor The Star, mangsa dipercayai bergaduh dengan sekumpulan penghuni lain kerana berebutkan ayam goreng pada malam sebelum kematiannya.  

Ibu mangsa, Aishah Rashid, 46, terkejut menerima berita yang menimpa anaknya itu. 

"Saya agak terkejut ketika diberitahu dan terus bergegas ke Hospital Sultanah Bahiyah setelah mendapat kepastian mangsa adalah anak saya," katanya. 

Jenazah telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Kuah. 

Susulan kejadian itu, polis telah menahan 10 penghuni lain berusia antara 14 sehingga 18 tahun yang disyaki terbabit dalam kes tersebut. 

"Ini merupakan kes pertama yang menyebabkan kematian di pusat berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," kata Rozi.

Difahamkan, Shukri dimasukkan ke pusat pemulihan berkenaan sejak 11 November lalu kerana masih dalam tahanan reman bagi membantu siasatan kes pecah rumah di Langkawi. - The Reporter

No comments

Powered by Blogger.