'Saya Tak Tahu Ada Dadah Dalam Tin Coklat' - Rakyat Malaysia Ditahan Cuba Seludup Dadah Di Manila


MANILA - Seorang lelaki warga Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA) selepas didapati cuba menyeludup kokain 4.6 kilogram yang disembunyikan dalam tin coklat, Isnin lalu, lapor Harian Metro

Nasiruddin Mohammad Hasnan, 22, ditahan pihak berkuasa NAIA ketika tiba di negara itu dengan menaiki sebuah penerbangan dari Togo. 

Pemeriksaan pada beg yang dibawa oleh suspek, menemui 9 tin yang mengandungi 216 bungkusan seperti coklat yang kemudian disahkan sebagai dadah jenis kokain. 

Lapor Inquirer.net, kokain gred tinggi seberat 4.6 kilogram itu dianggarkan bernilai 23 juta peso (RM2.03 juta). 

Menurut jurucakap Imigresen Filipina, Jaime Morente berkata, pihaknya menerima maklumat dari Agensi Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat mengenai seorang pembawa dadah dari Togo, sebelum Nasiruddin tiba di Manila. 

Berdasarkan rekod imigresen, suspek menaiki penerbangan Ethiopian Airlines dari Togo di mana dia menetap di situ selama sehari. Sebelum itu, Nasiruddin pergi ke Addis Ababa dengan menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur. 

"Suspek hanya membawa sebuah bagasi bimbit dan ditahan di NAIA ketika cuba menaiki teksi," katanya.

Bagaimanapun ketika disoal siasat, Nasiruddin mengakui bahawa dia tidak tahu mengenai dadah berkenaan dan kedatangannya ke Filipina adalah buat kali yang pertama. 

Nasiruddin yang berasal dari Johor mendakwa, dia bekerja sebagai pencuci kereta dan membeli tin coklat berkenaan ketika melawat Bangkok, Thailand. 

No comments

Powered by Blogger.