'Saya Takkan Pernah Lupa Detik Terakhir Bersama Arwah Ibu' - Adik Ikhwan

Kehilangan kedua ibu bapa di kala usia masih kanak-kanak, bukanlah sesuatu yang mudah dilupakan, apatah lagi bila diingat kembali pasti akan membuatkan air mata mengalir. Itulah yang dilalui oleh dua beradik ini yang kehilangan ibu bapa akibat masalah kesihatan. 

Mujur ada insan yang baik tampil membantu mereka. Malah kisah perjalanan dua beradik ini juga mendapat perhatian netizen yang rata-rata mahu menghulurkan bantuan. Semoga kedua adik beradik ini dilindungiNya. 


Oleh Natipah Abu

20 November 2016 

Ikhwan, dia baru berusia 10 tahun dan telah kehilangan ayah yang meninggal dunia akibat demam. Setelah ayahnya meninggal, ibunya jatuh sakit, demam, tak lalu makan dan muntah bila makan. Mungkin cinta si ibu pada suami terlalu mendalam. Sedangkan sebelum ini, ibunya sihat walafiat. 

21 hari setelah ayah Ikhwan pergi, tatkala tanah pusara ayahnya masih merah, ibunya pula menyusul pergi. Sungguh, kesedihannya tidak terucap dengan kata. 

Ikhwan anak bongsu, detik-detik terakhir dia bersama arwah ibunya takkan pernah dia lupa. Malah, malam itu tatkala jasad ibunya terbaring kaku, dia tetap tidur di sebelah ibunya seperti biasa. 

Kini, tinggallah dia menghitung hari. Entah sampai bila, namun yang dia tahu hari ini sudah 23 hari ibunya pergi dan ayahnya 44 hari. 

Tersentuh dengan nasibnya, saya amanahkan sejumlah wang dari tabung kebajikan yang disumbangkan sahabat-sahabat saya di sini kepada Guru Penolong Kanan Hal-Ehwal Murid SK Pedu Kuala Nerang untuk keperluan dia dan kakaknya yang sedang belajar di tahun enam, sekolah yang sama. Kedua beradik ini tinggal dan dijaga oleh abang dan kakak ipar yang hanya bekerja kampung. 

21 November 2016

Kedua adik beradik yatim piatu ini hari ini menerima kunjungan rasmi setiausaha politik Menteri Pendidikan Dato Seri Mahdzir Khalid di kampung mereka, Kampung Padang Setol, Kuala Nerang. 

Dato Seri Mahdzir telah berjanji akan membiayai segala keperluan sekolah dan keperluan harian mereka. 


Tuan Guru Besar, Encik Mohammad Khamaruddin Md Noor dan pihak sekolah, mengucapkan terima kasih kepada semua yang bersimpati di atas nasib dua beradik ini. 

Segala pertanyaan boleh berhubung dengan PK HEM SK Pedu, Encik Mat Sahidan bin Ahmad 013-4009328.

No comments

Powered by Blogger.