'Suhu Bayi Puan Kerap Meningkat, Kami Risau Kalau Virus Serang Selaput Otak'


Ramai yang bertanya, kenapa dengan baby Aariz. Di sini saya ingin kongsikan, semoga boleh memberi manfaat kepada sesiapa sahaja khususnya pada ibu-ibu yang baru saja melahirkan anak. 

Alhamdulillah, 8 Oktober 2016, baby Aariz selamat dilahirkan pada jam 3.04 pagi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Semua okay, normal dan baby diizinkan pulang bersama ibu ke rumah. Alhamdulillah, syukur sangat-sangat. 

Keesokannya, kelihatan tanda-tanda jaundice (penyakit kuning) mula muncul. Kemudian baby Aariz dimasukkan ke wad SCN di HSNZ untuk prosedur yang duduk di bawah lampu biru itu. Alhamdulillah, hanya ditahan sehari, baby Aariz beransur pulih dari jaundice. 

30 Oktober 2016, 22 hari selepas kelahiran, baby Aariz mula menunjukkan tanda-tanda kurang selesa difikirkan kembung atau perubahan biasa. Keesokannya, badan baby Aariz mula panas, suhu 37.7-37.8'c. Tanpa berlengah, saya terus ke Jabatan Kecemasan HSNZ. Doktor cadang baby Aariz masuk wad sekali lagi. 

*Jika baby demam, tolong jangan berlengah-lengah, segera rujuk ke bahagian kecemasan. 

Perasaan saya pada ketika itu hanya Allah saja yang tahu. Naluri seorang ibu selalu betul dan saya dapat rasakan anak saya bukan demam biasa. Tetapi masih berharap, inshaAllah baby Aariz ditahan sehari sahaja. 

Esok pagi, saya bergegas ke wad SCN. Hampir rebah saya melihat tubuh anak yang nampak lemah dan badannya panas. Doktor mula beri penjelasan. 

Suhu baby semakin meningkat dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda akan sembuh. Tetapi kita pantau dulu, kalau suhu semakin meningkat, suspek meningitis (jangkitan kuman pada selaput otak).

Saya terdiam seketika dan hanya mengangguk kepala.

Malam kedua baby Aariz di wad, saya mendapat panggilan dari SCN jam 2 pagi yang menyatakan suhu anak saya semakin meningkat. Allahuakbar, masa itu tak tahu nak gambarkan macam mana air mata laju bagaikan air terjun. Dunia seakan-akan berhenti dan hanya mampu berdoa dan berdoa. 

Esok harinya, terus ke hospital.

"Puan, suhu bayi puak asyik kerap meningkat. Kami risau kalau virus mula menyerang selaput otak. Kami tak tahu jenis virus yang ada sebab bayi puan sudah terdedah pada macam-macam virus yang kita tidak tahu apa di rumah puan. 

"Jadi, untuk mengesahkan virus ini, kita kena jalani prosedur LP, mengambil air tulang belakang," jelas doktor. 

PANG!! Terasa macam kena tampar. Terpingga-pingga saya mendengar penjelasan doktor. Keliru dan tak tahu nak kata apa. Hanya berpegang pada takdir dan percaya serta yakin dengan keputusan yang dibuat demi kebaikan baby Aairz. 

Tangan yang lemah ini menurunkan tandatangan pada surat-surat kebenaran prosedur itu dilakukan. Doktor terus membuat persiapan serta merta, pasang drip, puasakan Aariz dan masukkan ke dalam inkubator. 

Sambil semua itu diuruskan, air mata jatuh lagi. Saat itu, dunia seakan-akan gelap dan tidak tahan melihat baby Aariz  pada ketika itu. Sebak, sedih, takut dan menyesal semuanya ada.

*Tolong buka minda anda. Jangan dengar cakap dongeng dan bertanyalah pada yang pakar dan yakinlah demi bayi anda.

Petang itu, jam 5 petang, saya datang untuk berbincang dengan doktor sekali lagi. Tetapi doktor yang mula membuka mulut. 

Alhamdulillah puan, prosedur LP tadi sudah selesai dan segalanya berjalan dengan baik. Sekarang kita sedang tunggu keputusan dan baby puan kami bagi antibiotik untuk melawan kuman itu..

Alhamdulillah, demam dah tak ada dan baby pun dapat keluar dari inkubator. Sekarang baby Aariz kena habiskan antibiotik selama seminggu lagi dan inshaAllah jika segalanya berjalan lancar, kami akan pulang ke rumah bersama-sama.

Pesanan kepada ibu-ibu yang baru melahirkan anak.
  1. Jauhkan sesiapa sahaja yang demam, batuk, selesema dari dekat dengan bayi kita.
  2. Jika ada yang datang ziarah baby, minta mereka sapu sanitizer terlebih dahulu.
  3. Jangan dedahkan baby dengan debu atau habuk.
  4. Jika diminta untuk menjalankan prosedur tertentu, jangan cepat melatah. Buka minda dan bincang elok-elok demi bayi anda. Jangan ikut cakap orang yang tidak tahu apa-apa .Seeloknya bertanyalah pada yang pakar dan memohon kepadaNya.
Sebenarnya baby Aariz dapat demam ini sebab berjangkit dari kakaknya yang demam. Silapnya sikit tetapi impaknya sangat besar. Hati-hatilah dan beri penjagaan yang lebih pada bayi kita yang baru lahir. Biar orang nak cakap kita cerewet, asalkan bayi kita sihat dan selamat. 

Semoga penulisan ini boleh memanfaatkan ibu-ibu yang baru melahirkan anak. - Salina Hassan | The Reporter

No comments

Powered by Blogger.