'Tak Semua Orang Mampu Beli iPhone Dik' - Cikgu

Tweet lelaki ini dimuat naik pada 31 Oktober lalu mengundang rasa tidak puas hati netizen. Ramai yang tampil membidas kenyataan tweet 'acah famous' itu yang akhirnya backfire pada dirinya sendiri. 

Cikgu Emmet, tampil memberikan pandangannya mengenai tweet individu berkenaan dan juga kepada netizen yang kerap memberikan komen klise, minyak naik tapi KLCC penuh juga. 


Oleh Cikgu Emmet

Dik, tak kisahlah kalau iPhone 7 masuk ke Malaysia dan dibeli oleh orang-orang berdua macam adik. Kami yang miskin boleh beli telefon android skala murah. Malah, kalau BMW naik harga pun tak apa. Kami boleh beli Axia. 

Bukan semua mampu beli iPhone dik. Tetapi bila minyak naik, semua terkesan dik. Orang kaya merungut, orang miskin lagi bersungut. Tetapi orang kaya merungut boleh hidup mewah macam adik. Merungutnya sekejap sahaja. Orang miskin macam kami? Makin hari makin melidi. Orang kaya macam adik pilihannya hanya nilai ringgit. 

Kalau dulu harga iPhone RM3,000, sekarang naik RM3,200 apalah sangat. (Betul ke harga tu? Sebab saya tak mampu beli). Tetapi bagi orang miskin, minyak masak dulu harga RM13.00 sebotol 5 kilogram. Sekarang RM22.00, besar jarak harganya.

Yang berniaga cucur pisang takkan nak jual RM1 sekeping? Sedangkan dulu RM1 dijual untuk tiga keping. 

Harga minyak tetap naik, yang kaya tiada apa-apa. Yang marhaen seperti kami rasa disentap nyawa. Kadangkala terfikir juga, pemimpin ini manusia atau malaikat maut? Kerana tekanan, yang terjun jambatan pun sanggup. 

Sedarlah dik, iPhone itu kehendak, minyak masak itu keperluan. Takut satu hari nanti, iPhone kau gadai untuk beli beras. 

Gambar di Madagascar antara 10 negara termiskin di dunia dengan kadar pendapatan rakyat berjumlah US$1,000 setahun.
Mungkin bila sudah beratap langit, berlantai tanah baru dianggap miskin. Beberapa hari ini, ramai rakyat yang merungut akibat kenaikan harga petrol dan minyak masak yang amat ketara tingginya. Seperti biasa kita akan mendengar pandangan klise bahawa, 

Walaupun harga minyak naik, KLCC penuh juga. Lebuhraya sesak juga setiap kali cuti. Pusat peranginan penuh dengan pelancong tempatan. Mana miskinnya rakyat? Beli iPhone mampu, beli tiket bola sanggup. 

Itulah antara kata-kata yang kita dengar di sebalik tadbir kata-kata rungutan rakyat akibat kepayahan hidup. Saya tidak pasti kata-kata itu adalah lahir dari hati atau sekadar sindiran sakarstik.

Sebenarnya bukan ramainya pengunjung di KLCC, ramainya pembeli iPhone, penuhnya stadium jadi ukuran, 30 juta rakyat bukan semua ke KLCC. 

Cuba lihat dari mata burung dan rasalah keadaan mereka yang hidup di kampung. Perasaan seorang cashier memberi resit harga coklat Godiva + GST kepada pelanggan berstatus Datin tidak sama dengan perasaan seorang cashier yang melihat seorang ibu yang meminta anaknya meletakkan gula-gula mentos di rak apabila jumlah bayaran melebihi bajet di dompet. 

Perasaan seorang pemandu kereta untuk CEO ketika membayar ratusan ringgit nilai minyak RON97 di tangki Mercedes tidak sama dengan perasaan seorang pakcik pekerja buruh yang menghitung syiling demi syiling mencukupkan jumlah untuk mengisi tangki karat kapcai sebelum menuju ke tempat kerja. 

Perasaan seorang ibu yang mewah membekalkan bento beraneka juadah untuk anak makan di sekolah tidak sama dengan anak-anak orang msikin yang berbaris di pili untuk minum selepas wang belanja dihabiskan untuk makan nasi goreng kosong atau sebatang sosej. 

Cuba jadi orang-orang desa, rasai orang-orang marhaen, bayangkan tidur mereka adakah selena kita dan apakah makanan tengah hari mereka sesedap jamahan kita?

Cukuplah dengan perbandingan bodoh yang keluar dari mulut-mulut pemimpin. Jangan ditambah hiris luka hati marhaen. Takkan nak tunggu saat rakyat merempat, hidup melarat, mengemis di jalanan, hidup gelandangan, tidur beratap langit, berlantai tanah baru nak sedar? - Cikgu Emmet Fayzal

No comments

Powered by Blogger.