(Video) Gagal Pamerkan Kupon Parking, Pasangan Halang Penjawat Awam Jalankan Tugas


SUNGAI BULOH - Video pasangan dipercayai suami isteri yang menghalang seorang anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjalankan tugas, viral di media sosial dua jam yang lalu. 

Dalam kejadian 10.24 pagi semalam di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, pasangan berkenaan dilihat menghalang seorang penjawat awam, Nurul Ain Isa, dan dua lagi rakan sekerjanya menjalankan tugas menggenakan kompaun pada kenderaan milik pasangan berkenaan kerana tidak mempamerkan kupon parking. 

Berang dikenakan saman, pemilik kenderaan berkenaan tampil dan menyatakan bahawa dia sudah ada kupon parking. Namun, Nurul menjelaskan bahawa saman yang telah dikeluarkan tidak boleh dibatalkan.

"Saya telah keluarkan saman parking ke atas sebuah kereta kerana tidak pamerkan kupon meletakkan kenderaan. Selepas saya mengeluarkan saman tersebut, datang seorang perempuan berjumpa dengan saya dan dengan nada kasar memarahi saya.

"Dia juga menyatakan bahawa dia sudah ada kupon. Saya menjelaskan bahawa saman yang telah dikeluarkan tidak boleh dibatalkan yang kemudian berlaku pertengkaran di antara kami.

"Perempuan itu kemudian membawa seorang lelaki dan terus menengking, mengugut mahu menumbuk serta cuba menggigit jari saya," katanya.

Mangsa cuba menjerit meminta dilepaskan dan menjelaskan bahawa mereka telah menghalang penjawat awam menjalankan tugas, namun tidak diendahkan. Malah lelaki itu dilihat cuba merakam wajah mangsa dalam keadaan cuba memeluknya. 

Berang dengan tindakan lelaki itu, mangsa sekali lagi menjerit mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

"Saya ambil keputusan untuk beredar, namun perempuan itu telah mengekori saya dengan alasan mahu merakam gambar dan mengambil nama saya. Perempuan itu telah menarik belakang baju dan lelaki tersebut juga menghalang saya daripada beredar," katanya. 

Nurul kemudian berjaya melepaskan diri dan terus beredar dari tempat kejadian dan membuat laporan di balai polis berhubung kejadian itu.

Sementara itu, netizen meluahkan rasa geram terhadap tindakan kurang ajar lelaki dan wanita itu serta meminta pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pasangan berkenaan. - The Reporter

No comments

Powered by Blogger.