'Humairah, kau taman syurgaku'


Viral di media sosial minggu ini, seorang kanak-kanak bernama Humairah, 3, masih tidak mampu bertutur. Ramai yang menyangka Humairah menghidap autisme atau mengalami masalah speech delay.

Menurut ibunya, Humairah sebenarnya menghidap Cerebral Palsy dan cacat fizikal. Tidak mampu bertutur itu adalah salah satu keistimewaannya. Dari luahannya di Facebook itu, hanya 10% daripada keistimewaan Humairah. 

Luahan yang dimuat naik bukanlah bertujuan meraih simpati netizen, tetapi mahu membuka minda masyarakat kita untuk meraikan golongan anak istimewa. 


Oleh Syahirah Othman

Saya jarang menulis perkara sedih untuk dua tahun kebelakangan ini (tentang Humairah). Saya rasa saya lebih selesa berkongsi cerita gembira dan mungkin boleh menjadi semangat buat kawan-kawan yang baca. Baik dari ibu bapa anak istimewa atau tidak. 

Tetapi bukan bermakna hidup kami tiada onak dan duri. Kami manusia, ada hati, perasaan dan emosi. Kami juga boleh naik marah. Apatah lagi jika kehendak Humairah tidak dapat dipenuhi dan dia terus menangis. Sedangkan kami dah usahakan macam-macam dan hanya disebabkan kesukaran untuk kami memahami apa yang ingin diperkatakan. 

Ya, pada umur tiga tahun, Humairah masih belum mampu menutur sebarang perkataan. Kami sedih, tetapi takmi tak boleh hidup dalam kesedihan itu dan meluahkannya di Facebook bagai meminta simpati betapa sukarnya hidup kami. 

Alhamdulillah, tanpa saya sedar, saya semakin sabar melayani karenah Humairah, di samping bantuan suami. Allah kurniakan sebaik-baik zuriat dan sebaik-baik suami. Juga keluarga dan rakan yang sangat baik. 

Saya tak rasa saya berada di tahap sekarang dengan usaha saya seorang. Saya tak rasa saya boleh mengajar, berniaga, menjaga anak istimewa bersosial dengan baik tanpa bantuan orang lain. Agaknya kalau nak berterima kasih, habis ruang Facebook ini. 

Kalian melihat saya tersenyum, tetapi sebenarnya saya pernah menangis apabila menerima borang OKU Humairah. 

Kalian melihat saya rajin hadir ke temujanji Humairah, tetapi sebenarnya saya pernah berbulan-bulan tak pergi sehingga luput tarikh dan perlu mohon kembali. 


Kalian melihat saya bergambar tersenyum bersama Humairah yang menunjukkan sebaris gigi rongaknya, tetapi sebenarnya saya juga pernah menangis apabila tidak dapat menahan sabar dengan permintaan Humairah yang langsung tidak difahami. 

Kalian melihat saya kuat, mengajar dan melayan karenah anak kecil 1, 2 tahun berjual beli bermacam-macam produk dan pelbagai aktiviti saya. Tetapi sebenarnya saya juga pernah putus asa dan jatuh. 

Kalian melihat saya dan suami kuat dan gigih membesarkan anak istimewa, sebenarnya kami juga pernah berselisih pendapat. 

Perkara negatif tidak akan pernah lekang dalam hidup kita. Tapi saya harap saya mampu memberi sedikit cas positif kepada kalian yang selalu menyokong saya. Tak mampu saya nak membalasNya. Saya berharap saya akan terus kuat dan bersabar. Sangat besar hikmahNya. Kadang-kadang, tak mampu untuk saya fikir dan muhasabah. 
'Humairah, kau taman syurgaku' 'Humairah, kau taman syurgaku' Reviewed by Editor on 8:40 AM Rating: 5