Isteri bawa 12 lelaki belasah & tetak suami


KLANG - Seorang lelaki cedera parah ditetak di bahagian kepala selepas diserang oleh 16 individu termasuk isterinya, lapor Sinar Harian

Dalam kejadian jam 10.40 pagi Rabu, wanita berusia 19 tahun itu datang membawa tiga ahli keluarganya dan 12 lelaki ke rumah mentuanya di Jalan Istana untuk mengambil anak perempuannya berusia dua tahun. 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, kejadian itu disedari oleh jiran mangsa lalu menghubungi salah seorang ahli keluarga mangsa yang mendakwa rumah mereka dimasuki orang. 

Terkejut menerima panggilan itu, dia terus bergegas pulang ke rumah. Bila tiba di rumah, dia mendapati mangsa berusia 28 tahun, suami kepada kakak iparnya itu berlumuran darah dan tidak sedarkan diri selepas cedera ditetak di kepala. 

Turut cedera dalam kejadian itu, bapa mangsa, adik lelaki dan rakan mangsa yang berada di rumah tersebut. 

"Kesemua mangsa dicederakan menggunakan batang besi, pengunci stereng, topi keledar dan parang. Akibat kecederaan tersebut, kesemua mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan kini dilaporkan stabil. 

"Dalam insiden itu juga, rumah mangsa dan barangan elektrik turut dirosakkan, selain telefon bimbit serta wang tunai kira-kira RM4,000 turut dilarikan," katanya. 

Siasatan awal mendapati, mangsa sebelum ini tinggal bersama isterinya di Kampung Subang, namun berlaku perselisihan faham menyebabkan mangsa bersama anak perempuannya nekad keluar dari rumah pada 9 Januari lalu dan tinggal di rumah keluarganya. 

Susulan kejadian itu, seramai tiga lelaki dan dua wanita termasuk isteri mangsa ditahan pada jam 9 malam, hari yang sama selepas tampil menyerah diri di balai polis. 

"Semakan mendapati dua individu memiliki rekod jenayah lampau kerana bergaduh. Tiga lelaki itu telah direman selama enam hari, manakala dua wanita tersebut direman sehari bagi membantu siasatan," katanya. - The Reporter
Isteri bawa 12 lelaki belasah & tetak suami Isteri bawa 12 lelaki belasah & tetak suami Reviewed by Editor on 3:12 PM Rating: 5