Konon nak bagi suami tengok telefon...


TANAH MERAH, KELANTAN - Dua suspek lelaki dan wanita yang menjadikan kedai telefon sebagai sasaran jenayah mereka ditahan semalam, lapor Sinar Harian

Dalam kejadian jam 12 tengah hari, Rabu, suspek wanita masuk ke kedai dan berpura-pura mahu membeli kad tambah nilai dalam jumlah yang banyak, manakala suspek lelaki menunggu di dalam kereta. 

Pemilik kedai yang curiga dengan tingkah laku suspek segera menghubungi rakan radio amaturnya yang sebelum ini menghebahkan maklumat mengenai kegiatan dua suspek terbabit di media sosial. 

Bertindak hasil maklumat orang awam, kedua-dua suspek berjaya ditahan.

Dalam kejadian 3.21 petang, Selasa lalu, dua suspek yang sama juga turut dilaporkan telah mencuri telefon bimbit di kedai lain. 


Suspek wanita yang berpura-pura mahu membeli telefon bimbit sebelum memaklumkan kepada pekerja kedai yang dia mahu menunjukkan telefon itu kepada suaminya yang menunggu di dalam kereta. 

Yakin dengan kata-kata wanita itu, pekerja berkenaan membenarkannya berbuat demikian. Namun sebaik saja wanita itu masuk ke dalam kereta suaminya, Perodua Alza DCJ 4257, pasangan itu terus melarikan diri.

12 Januari lalu, dua suspek itu juga dipercayai terlibat dalam kes melarikan telefon di sebuah kedai di Panglima Bayu dengan taktik yang sama. 

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad mengesahkan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan. - The Reporter