Larangan motosikal kapcai masuk pusat bandar KL tidak akan dilaksanakan - Menteri


KUALA LUMPUR - Larangan motosikal kapcai atau motosikal kecil dari memasuki pusat bandar Kuala Lumpur tidak akan dilaksanakan jika rakyat membantah cadangan itu, kata Menteri Wilayah Persekutuan. 

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, larangan itu sebelum ini hanya di peringkat cadangan sahaja namun telah diputarbelitkan oleh pihak tertentu. 

"Kami merasai nadi rakyat, kalau rakyat tak mahu, kami akan ikut pandangan rakyat. Jadi pengguna motosikal kapcai jangan bimbang dan kita tidak akan melaksanakannya," katanya memetik laporan dari Free Malaysia Today

Sebelum ini, beliau berkata cadangan itu adalah di antara usaha mengurangkan kadar pelepasan karbon, selain kaedah bagi menangani jenayah ragut dan pelaksanaan larangan itu hanya akan dipertimbangkan sekiranya tambang pergangkutan awam berpatutan. 

"Kita sedang melihat perkara (cadangan) ini, jadi saya kata 'berkemungkinan', mungkin ya atau tidak. 

"Saya tahu kebanyakan warga kita memerlukan kenderaan ini khususnya golongan bawahan yang menggunakan kenderaan ini ke tempat kerja dan sebagainya kerana ia menjimatkan," katanya. - The Reporter