'Mok dihalau anak dan menantu, tiada seorang pun yang tahu Mok di sini...'

Sayu dan sebak hati ini. Anak jenis apa yang sanggup menghalau ibu yang melahirkannya ke dunia ini? Tergamak sungguh anak dan menantu wanita warga tua ini. Meskipun dihalau, nenek ini bersyukur dapat keluar dari rumah anaknya itu kerana dia sudah tidak dapat menahan derita diseksa dan didera anak dan menantunya. 


Oleh Nurul Shafeena

Petang tadi di stesen KTM, terjumpa nenek ini. Usha dari jauh, kasihan sangat tengok dia baring di stesen. Kemudian ada orang terlanggar tong sampah dan terkena dia. Saya pun pergi tolong angkat sekali. Masa itu dia tengok saya, senyum saja. Saya pun membalas senyumannya. Masa itu saya busy, tak sempat nak berbual. 

Selepas selesai semua kerja, aku tengok nenek ini masih ada di stesen itu. Lalu saya pun pergi bertanya dia nak ke mana? Dia kata nak pergi Gua Musang, tiket kereta api jam 3 pagi. Bayangkanlah dia nak tunggu seorang diri di stesen itu sampai jam 3 pagi? Dia dari pagi lagi dah berada di stesen itu. 

Mulalah kami berbual panjang. Bila dengar ceritanya, saya sangat-sangat terkilan. Nenek ini dari Kuantan ke Mentakab menaiki teksi. Dia hanya ada duit RM25 sahaja. Tambang teksi masa itu, RM85. Dia bagi semua duit dia, dia cakap dia tak ada duit. Bila ditanya, rupa-rupanya dia dihalau oleh anak dan menantunya. 

"Anak-anak Mok tak ada ke yang tahu Mok ada di sini?" dia suruh saya panggil dia Mok. 

"Tiada seorang pun yang tahu," balasnya. 

Saya minta nombor telefon waris dia kalau ada. Dia cakap tak ada. Ditanya dah makan ke belum, dia kata hanya ada RM5 saja, itu pun orang sedekah. Dia tak tahu nak minta tolong siapa yang belikan. 

Dia kena halau, dia cerita apa yang menantu dia buat. Menantu dia sepak dia sampai bengkak lutut, kepalanya diketuk-ketuk dan dia dah biasa melalui semua itu, katanya. 

Masa dia ceritakan semua itu, dia tak menangis tapi saya dah mula sebak. Bila saya ajak dia duduk sekali dengan saya, terus dia menangis. Sambil memeluk saya, dia cakap dia bukan nak minta simpati dan dia boleh saja duduk di stesen itu sebab dia tak nak menyusahkan orang. 

Sampai hati ke korang nak biarkan nenek ini? Jalan pun tak berapa, mata pun dah tak nampak, pendengaran pun dah kurang. Sanggup ke biarkan nenek ini seorang diri di malam hari? 

Dia menangis sebab ada orang yang sudi tolong dia. Tak lekang mulut dia menyebut Alhamdulillah. Saya sedih sangat-sangat. Tak faham kenapa ada manusia yang sanggup buat orang tua begini. Dera ibu sendiri. 

Nenek ini nak jalan pun tak larat, terpaksa keluar seorang diri. Telefon pun tak ada. Dia cakap dia tawakal saja. Dia duduk di rumah anak dia, dia banyak menangis. Dia pun bersyukur juga sebab dapat keluar dari rumah itu. 

Allah... Allah.. sedih sungguh dengar kisah nenek ini. Semoga Allah menjaga Mok. 

"Allah ada dengan kita, Mok tak ada apa-apa. Mok tahu Allah tolong. Buat apa kita nak takut? Mok tawakal dengan perjalanan Mok yang tak bawa apa-apa. Allah ada tolong Mok," katanya. 

Sekadar perkongsian. Allah temukan saya dengan Mok, mungkin Allah nak menegur. Semoga Allah melindungi Mok. Amin.