Muka jururawat ditoreh peragut


LAHAD DATU, SABAH - Seorang jururawat parah di bahagian dahi akibat ditoreh dengan pisau oleh peragut yang cuba meragut beg tangannya, kelmarin, lapor Harian Metro

Dalam kejadian jam 9 malam di kawasan parkir pasar raya di Bandar Sri Perdana, Jalan Silam itu, mangsa, Normalia Tuang, 43, jururawat di sebuah klinik swasta di Kinabatangan cedera parah di bahagian dahi, hidung dan mulut, dibawa ke Wad Kecemasan Hospital Lahad Datu. 

Sebelum kejadian, mangsa baru selesai membeli kelengkapan dapur di pasar raya lalu menuju ke kenderaannya yang diletakkan di kawasan parkir untuk menyimpan barang. 

Ketika sedang memunggah barang masuk ke dalam kereta di pintu belakang sebelah kanan, tibat-tiba seorang lelaki cuba menarik beg tangannya. Terkejut dengan tindakan lelaki itu, mangsa cuba melawan.

Gagal meragut beg mangsa, lelaki terbabit menoreh muka mangsa menggunakan pisau sebelum melarikan diri. 

Orang ramai yang melihat kejadian itu segera menghubungi polis sebelum menghantar mangsa ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut. 

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner M Hamzah Ahmad mengesahkan kejadian itu dan pihaknya kini sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. 

Mangsa yang menerima rawatan di Hospital Lahad Datu kini dilaporkan stabil. - The Reporter
Muka jururawat ditoreh peragut Muka jururawat ditoreh peragut Reviewed by Editor on 9:28 PM Rating: 5