'Yang pasti aku merindui nak dengar ucapan-ucapan Adenan...' - Syahril



Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Raji'un... Selamat Jalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem

SEWAKTU menjadi Pegawai Khas kepada seorang menteri dari Sarawak tahun lalu, aku sering menghadiri majlis Ketua Menterinya, Tan Sri Adenan Satem. Kita yang dari semenanjung ini mungkin tak begitu 'alert' mengenai politik Sarawak. Yang kita dok dengar hanyalah Sarawak sering dikatakan 'fixed deposit' BN tetapi hakikatnya senario politik Sarawak tetap ada 'warnanya' yang tersendiri dan bukan calang-calang pemimpin yang boleh survive.

Menjadi pemerintah pada sebuah negeri yang mempunyai pelbagai kaum, keturunan, agama, budaya, adat resam etc semua ini bukan mudah. Di Sarawak sekurang-kurangnya ada 27 etnik besar u ollss. Kita di semenanjung yang ada tiga etnik besar pun dah berpeluh nak handle. Adenan istilahnya kena adil pada semua. Ibarat tarik rambut dalam tepung, rambut tak putus tepung tak berselerak. Ini yang ramai pengkritiknya tak faham bila bercakap mengenai pendekatan yang beliau ambil dalam satu-satu isu.

Suka duka dan perit getirnya mentadbir negeri bumi kenyalang ini hanya beliau dan Allah saja yang tahu. Tapi sudah tentu bukan semua yang beliau boleh luahkan pada umum.

Gambar kenangan Syahril A. Kadir dengan kereta rasmi Ketua Menteri Sarawak | Foto - Syahril A. Kadir
Yang pasti sejak aku ulang alik ke Sarawak, aku perasan satu macam gelombang yang agak luar biasa yang aku sifatkan sebagai 'gelombang Tan Sri Adenan Satem' di kalangan rakyat Sarawak. Gelombang ini memang lain macam. Adenan menjadi semacam idola, kehadirannya ditunggu, ucapannya dinanti dan setiap dasar dan polisi yang diperkenalkannya sentiasa dirai dan disambut dengan penuh keterujaan.

Ketegasan Adenan dalam isu royalti minyak, pembalakan haram dan PATI contohnya telah menjadikannya hero yang sangat disanjung rakyat, sebab itu setiap kali beliau hadir mana-mana program, berpuluh ribu orang akan menyambut beliau, dah macam selebriti!

Adenan Satem gemar makan di gerai-gerai biasa | Foto - Syahril A. Kadir
Mukanya memang garang tetapi Adenan kelakar orangnya. Sifat humornya yang kerap berjenaka dalam bahasa lokal ketika berucap, tak suka bagi speech yang berjela-jela, tak gemar protokol yang berlebihan, gemar makan di gerai-gerai biasa ternyata membuatkan Adenan dilihat pemimpin yang benar-benar 'down to earth' dan paling tepat untuk duduk di kerusi sekarang.

Untuk rekod, sebelum menceburi bidang politik, Adenan pernah bergelar wartawan apabila menyertai akhbar tempatan, 'Sarawak Tribune', dan kemudiannya meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang di Adelaide University, Australia.

Foto | Foto - Syahril A. Kadir
Yang pasti aku merindui nak dengar ucapan-ucapan Adenan. Walaupun adakalanya aku tak faham sebab beliau cakap bahasa Sarawak tapi bila tengok orang ramai gelak, dengan aku-aku sekali nak tergelak!

Dan sebentar tadi kita dikejutkan dengan pemergian Allahyarham yang berusia 72 tahun ini kerana penyakit jantung. Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya dan menerima jasa yang beliau taburkan sepanjang hayatnya.

Dari Allah kita datang. Kepada Allah kita pergi.

Al-Fatihah.