Kes bunuh Kim Jong-Nam: Pemandu teksi ditahan & polis buru 2 perisik Vietnam


SEPANG, SELANGOR - Seorang pemandu teksi yang membawa dua perisik wanita yang didakwa membunuh Kim Jong Nam di KLIA 2 semalam, ditahan bagi membantu siasatan. 

Lapor Oriental Daily yang mendapat maklumat dari seorang pegawai polis kanan di Bukit Aman itu melaporkan pemandu teksi terbabit ditahan di sekitar ibu negara pada petang semalam. 

Pemandu itu ditahan hasil siasatan polis ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di KLIA 2.

Polis termasuk anggota Cawangan Khas (SB) kini sedang giat mengesan dua perisik warga Vietnam yang dipercayai diupah sebuah negara bagi melakukan misi pembunuhan Kim Jong-Nam.

Polis juga sudah mengenal pasti semburan racun yang digunakan bagaimanapun tidak mendedahkan nama racun tersebut, tetapi ia jauh lebih toksik daripada sianida dan pernah digunakan dalam kes pembunuhan lain. 

"Ketika itu, Kim Jong-Nam berada di lobi lapangan terbang dan bersedia memasuki balai pelepasan. Tiba-tiba dua perisik wanita itu menghampirinya dan salah seorang menyembur sejenis racun dan seorang lagi menggunakan sapu tangan menutup mulut mangsa hampir 10 saat bagi memastikan semburan racun itu memasuki saluran pernafasannya, sebelum meninggalkan tempat itu," kata sumber. 

Dua ejen itu kemudian keluar dari lobi lapangan terbang dan segera menaiki sebuah teksi yang sudah menunggu mereka. - The Reporter

Sumber: Oriental Daily, Free Malaysia Today