Padah cabul dada penunggang wanita


KUALA KETIL, KEDAH - Padah meraba wanita yang sedang menunggang motosikal, seorang lelaki cedera selepas terjatuh ditendang oleh mangsanya. 

Dalam kejadian jam 8 pagi tadi di Kampung Pantai Cicar itu, mangsa, Artiyna Ikhwan, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas habis waktu bekerja, diekori oleh suspek yang menunggang motosikal. 

"Dia mengekori saya dari belakang, masuk ke kampung. Bila saya bawa motor perlahan dengan harapan dia boleh memintas saya. Tetapi dia tidak berbuat demikian. 

'Bila saya tunggang lebih laju, dia pun ikut sama. Dalam hati dah risau dan kepala dah fikir macam-macam. Manalah tahu kalau dia nak meragut saya atau lain-lain. 

"Rupa-rupanya, ya Allah! Dia ambil kesempatan meraba payu dara saya. Kebetulan kaki saya pada ketika itu memang sudah bersedia untuk menendang motosikalnya, terus saya tendang," katanya. 

Suspek yang gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar sebatang tiang elektrik sebelum terbaring di tepi jalan. Suspek cedera teruk di bahagian muka. 




Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kuala ketil berhubung kejadian itu.

Suspek yang cedera teruk di bahagian muka kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof, mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Justeru, mangsa menasihatkan agar golongan perempuan lebih berhati-hati apabila menunggang motosikal seorang diri. - The Reporter