Header Ads

  • Terkini

    Recent Posts:

    'Sampai hati Fuzah tipu Ustaz Hamdi...'

    Masyarakat kita memang pemurah dan gemar membantu mereka yang berada dalam kesusahan. Viralkan saja di media sosial, pasti ada yang akan tampil menghulurkan bantuan tak kiralah dari segi makanan, barang-barang keperluan atau wang tunai. 

    Namun, ada segelintir yang gemar mengambil kesempatan dari kebaikan orang. Disebabkan itulah, ramai yang serik menghulurkan bantuan kepada golongan orang susah ini kerana perbuatan segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab dan menghargai bantuan yang diberikan. 

    Seperti yang berlaku pada wanita ini, berhempas pulas membantu orang susah. Tetapi akhirnya tembelang orang terbabit pecah bilamana dia hanya mempergunakan wanita ini dan baru-baru ini telah menipu seorang ustaz. 

    Gambar hiasan sahaja | Google Images

    "Kak Pah, boleh tolong dak? Ada perempuan ni, anak 9, suami lari. 5 orang duk sekolah lagi. Pi sekolah pun jalan kaki. Tak dak apa nak makan ni.." kata Ustaz Sani.

    "Bila kita nak pi?" soal saya. 

    "Kami ikut Kak Pah," katanya. 

    "Esoklah, dah lewat ni," 

    "Okay, esok kita pi," 

    "Eh, tapi esok cuti. Public Holiday?" 

    "Tak apa, tak ada masalah. Kami boleh turun," katanya. 

    Melihat kesungguhan Ustaz Sani dan pasukannya yang sanggup turun walaupun cuti, saya memutuskan untuk menziarahi pada petang itu juga. Sampai di lokasi, rumah kos rendah dan wanita itu berjiran dengan jiran bukan Melayu. 

    "Saya bimbang akidah di terpesong kerana katanya jiran-jiran inilah yang banyak menolong dia," kata Ustaz Sani. 

    Sebaik pintu rumah dibuka, tercegat di hadapan saya seorang wanita yang pernah saya bantu tiga tahun lalu. Wanita itu yang dulunya tinggal di dalam hutan, memasak menggunakan dapur kayu, rupanya telah berpindah ke sini. 

    Dia datang bertemu dengan Ustaz Hamdi, menangis menceritakan kesempitan hidupnya. Mereka terputus bekalan makanan, suami menghilang entah ke mana, seorang anak lelakinya juga sakit dan tidak mampu ke hospital dan lima anaknya ke sekolah berjalan kaki tanpa wang saku. 

    "Saya ada kutip sumbangan dari staff saya. Kami ke Tesco beli barang dapur semalam. Teringin nak beli ayam tapi takut dia tak ada peti sejuk," jelas Ustaz Hamdi.

    Ustaz Sani tunduk memandang lantai. SAya tersenyum mendengar penjelasan Ustaz Hamdi. 

    "Saya mai lagi pagi tadi, hantar duit pula. Saya tidur tak lena semalam duk fikir kat depa. Megi sebungkus share lima orang. Nasib baik saya dah hantar barang dapur semalam. 

    "Pagi tadi, kakak sulung budak-budak ini buat nasi goreng kat adik-adik untuk sarapan dan bekalkan ke sekolah," 

    Saya biarkan Ustaz Hamdi yang sudah berusia 50'an itu meneruskan cerita. Dalam hati, rasa bersimpati dan terharu yang amat-amat memlihat kesungguhan dia berusaha membantu keluarga ini. 

    Dan wanita itu? Dengan wajah bersahaja, diam terpaku di sisi saya. 

    "Dia datang office saya untuk meminta bantuan dengan berjalan kaki Kak Pah. Nasib baik ada budak muda mana tak tahu tumpangkan dia. Budak itu lalu dengan motor, nampak dia jalan kaki. Budak itu tumpangkan dia laa. Baru hari ini dia start mengasuh baby orang. Nanti dapatlah duit barang dapur," kata Ustaz Hamdi. 

    Saya pandang wajah wanita itu. Saya telah membantu wanita itu bukan sedikit. Memindahkan dia dari hutan itu, mencarikan dia rumah sewa di kawasan kampung, membayar deposit sewa rumah, membeli semua barang keperluan rumah seperti peti sejuk, dapur, tong gas dan lain-lain. 

    Dengan bantuan adik-adik sukarelawan, kami dapatkan pekerjaan untuk dia. Malah saya bantu dia mendapatkan wang sara hidup dari Lembaga Zakat Negeri Kedah.

    Motosikalnya yang tersadai di balai polis, saya minta adik-adik sukarelawan usahakan untuk mendapatkan semula bagi tujuan memudahkan dia ke tempat kerja. 

    Tetapi hampa. Dia selalu tuang kerja walhal tugasnya sebagai cleaner surau di sebuah sekolah tidaklah seberat mana. Tak sampai dua minggu, dia berhenti kerja. 

    Suaminya, saya sudah berkira hendak belikan gerai burger, malah sudah ada peruntukan untuk itu. Tetapi tiba-tiba dia maklumkan hendak berhijrah ke Kuala Lumpur kononnya kerja di sana lebih lumayan. 

    Saya bersungguh-sungguh ingin membantu keluarga ini membina hidup baru walaupun tahu suaminya bekas banduan di bawah Akta Dadah Berbahaya, demi simpati pada anak-anaknya yang masih kecil. 

    "Fuzah, anak mana yang mana sekolah Fuzah?" 

    "Mirul dah berhenti sekolah, tiga tahun. Alia dah diberi pada orang. Yang dua ini belum sekolah pun. Fuzah tak ada anak yang sekolah pun," katanya. 

    Tercengang Ustaz Hamdi yang sudah empat kali berulang alik ke rumahnya untuk menghantar segala macam barang keperluan sejak mengetahui tentang kesempatiannya semalam. 

    Ya betul, dia ada 9 anak tetapi 5 sudah diserahkan kepada keluarga angkat. Yang tinggal dengan dia cuma 4 orang sahaja. Benar suaminya tiada tetapi akan pulang sekali sekala. 

    Setelah dia berhenti kerja, ada beberapa kali dia cuba menghubungi saya, terputus bekalan makanan katanya. Mengenangkan anak-anaknya, saya tetap menghantar bekalan makanan. 

    Suatu hari dia menghubungi saya memaklumkan bekalan makanan mereka terputus lagi. Kali ini saya minta bantuan adik-adik sukarelawan yang hantarkan dan di situlah segalanya terbongkar. 

    Mereka mula menjejak maklumat dia berdasarkan nombor telefonnya. Itu kepakaran anak-anak muda masa kini. 

    "Kak Pah, kami ada benda nak beritahu tetapi kami takut Kak Pah terkejut dan sedih," kata adik-adik sukarelawan dalam WhatsApp. 

    "Apa dia? Cakaplah," balas saya. 

    Berdesup-desup gambar-gambar yang saya terima di WhatsApp. Gambar-gambar seksi dia, ada yang hanya memakai baju dalam, berskirt pendek separas paha dan lain-lain. Aksi seksi wanita berusia 39 tahun ini yang dipamerkan kepada khalayak ramai. 

    "ABang ada arai, adik rela barai.."

    Itu antara status FB dengan nama samarannya. Saya betul-betul tak faham maksud ayat itu. 

    "Abang ada arai.." mungkin maksudnya abang ada hai (hal). 
    "Adik rela barai.." barai itu merajuk pada suami agaknya. 

    Sehinggalah saya post ayat itu di Facebook untuk bertanyakan maksudnya. Rupa-rupanya 'Arai' itu adalah jenama helmet motosikal berkuasa tinggi. Lalu saya pun fahamlah maksud ayat itu. 

    Sejak dari itu, saya tidak lagi membantu dia walaupun dia mesej saya dengan ayat kononnya mahu membunuh diri kerana tak tahan hidup susah.

    Dan kini terbongkar lagi, bayi yang dikatakan mengasuh anak orang itu adalah cucunya sendiri. Lelaki yang kononnya menumpangkan dia dengan motosikal itu pula adalah anak bujangnya sendiri. 

    Sedih sungguh melihat Ustaz Hamdi yang begitu terkejut kerana ditipu begitu sekali. Sebak dia menuturkan ayat, menasihati wanita ini agar bertaubat. 

    "Solatlahhh...." 

    Sayu sekali nada Ustaz Hamdi seolah-olah memujuk seorang anak kecil. Air mata lelakinya bergenang di kelopak mata sedangkan wajah wanita itu sedikit pun tiada rasa bersalah. Jauh sekali reaksi sedih di wajahnya. 

    "Sampai hati Fuzah buat macam ini. Kalau Fuzah tipu Kak Pah, tak apa lagi. Tapi sampai hati Fuzah tipu Ustaz Hamdi. Dia ustaz, dia bersungguh-sungguh simpati dan mahu membantu Fuzah," kata saya padanya.

    Dari insiden seperti itulah membuatkan saya cukup berhati-hati mengetengahkan tentang sebarang bantuan melainkan jika perlu sahaja. Saya juga tidak mudah berkongsi post atau menyumbang jika tidak turun ziarah walau berjela ayat sedih dalam peti mesej. 

    Dan malam itu, saya tidak dapat tidur lena kerana membayangkan bagaimana dia melakonkan semua itu untuk menyakinkan Ustaz Hamdi. Sungguhlah benar kata bidalan, 'Lidah memang tidak bertulang'. 

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad

    Powered by Blogger.