'Walaupun saya sudah bekeluarga, saya tetap beli barang dapur untuk ibu bapa'



Semalam saya sempat menziarahi jiran karib saya untuk sama-sama meraikan Tahun Baru Cina. Sedihnya, tahun ini saya cuma berkesempatan berziarah satu rumah sahaja kerana tiada jemputan lain diterima. 

Sahabat Cina yang saya biasa berhubung juga tidak menjemput apabila saya hantarkan ucapan Gong Xi Fa Chai. Tak mengapalah! Dan ada juga yang awal-awal memaklumkan saya tiada sambutan tahun ini kerana ada kematian ahli keluarga. Mengikut tradisi Cina, jika ada kematian, biasanya mereka dilarang meraikan sebarang majlis tahun baru dan pernikahan untuk sekurang-kurangnya selama 6 bulan. 

Bagi kaum Cina tertentu pula, mereka lebih rigid dan melarang perkahwinan dan sambutan tahun baru Cina selama 3 tahun. Saya menghormatinya.

Bercakap mengenai keluarga, saya ada satu cerita. Beberapa hari lepas semasa beratur untuk membayar di kaunter selepas membeli barang dapur di sebuah pasar raya, di hadapan saya ada pelanggan lain yang turut beratur. Betul-betul di hadapan saya, ada satu keluarga India dengan tiga troli barangan. Isteri mencuit tangan saya dan membuat isyarat mata bagi memberitahu saya mengenai gelagat membeli luar biasa pelanggan di hadapan kami. Saya memerhatikannya.

Pada hemat saya, mereka bukan peniaga yang memerlukan mereka membeli stok barangan sehingga tiga troli penuh. Keluarga India muda itu cuma 4 beranak yang terdiri daripada suami isteri dalam lingkungan 30-an dan dua anak mereka yang berusia dalam lingkungan 5 ke 8 tahun.

Semasa giliran mereka, saya melihat si suami mengatur barang di atas kaunter dan membayar barangan di setiap troli secara berasingan menggunakan kad kredit. Apa yang menarik perhatian saya ialah, barangan di troli pertama adalah sama 100% dengan barangan di troli kedua. Barangan di troli ketiga pula lebih kepada barangan wanita dan kanak-kanak.

Saya menegur lelaki itu sekadar untuk berbahasa dan bertanya adakah dia membeli untuk dua bulan sekaligus kerana dua trolinya adalah barangan yang hampir sama pada mata kasar saya.

Jawab lelaki itu, "Ya, kedua-dua troli ini sama barangannya. 100% sama!"

Saya mengerutkan dahi. Pelik. Kenapa perlu asingkan troli jika kesemuanya barangan sama. Saya kemudiannya menduga ia diasingkan kerana mereka membeli untuk stok bulan akan datang dan tidak mahu dicampur aduk dengan stok bulan semasa.

Dia senyum dan mengelengkan kepala. Arh... salah la pula tekaan saya.

"Troli pertama untuk rumah saya. Troli kedua pula untuk rumah ibu bapa saya," jawabnya sambil senyum.

"Saya asingkan supaya saya terus boleh hantar ke rumah ibu bapa saya sebelum saya balik rumah saya. Saya pastikan apa-apa keperluan mereka mesti didahulukan dari keperluan saya. Encik tengok semua barang samakan?" soalnya. 

Saya angguk.

"Semasa kecil sampai sebelum kahwin, saya tinggal dengan ibu bapa saya. Saya makan apa yang ibu bapa saya beli dan beri saya makan. Jadi apabila saya sudah kerja dan kahwin pun, saya tetap belikan mereka apa mereka suka makan dahulu. Beras, susu, semuanya saya beli apa yang ibu bapa saya makan dahulu.

"Saya duduk rumah asing dengan rumah ibu bapa saya sebab mereka suruh. Tetapi saya cari rumah yang dekat dengan rumah mereka supaya sekurang-kurangnya 2 atau 3 hari sekali saya dapat jenguk mereka jika saya terlampau sibuk.

"Di rumah, saya ajar keluarga saya makan apa yang ibu bapa saya ajar saya makan. Tapi last troli itu untuk keluarga saya. Saya kena 'fair' untuk keluarga saya juga. Mereka ada 'favourite' makanan sendiri, jadi saya tetap kena beli untuk mereka. Tapi basic food, semua sama dengan family saya," terangnya panjang lebar dan saya cuma angguk.

Setelah juruwang selesai mendaftarkan harga dan lelaki itu membayarkan, kami pun berpisah dengan salaman dan senyuman. Saya bukan kagum dengannya yang menghabiskan wang sebanyak RM657.50 untuk sekali berbelanja, tetapi sangat kagum dengan ingatan dan kebaikannya terhadap keluarga yang telah membesarkannya.

Orang kata, kita perlu banyak berjalan untuk mencari pengalaman dan ibrah (maksud = pelajaran atau ikhtibar). Bagi saya tak semestinya kita perlu berjalan jauh sehingga ke hujung dunia kerana ibrah boleh diperolehi di mana-mana sahaja asalkan kita membuka mata dan membuka mulut untuk memulakan kata.