Kanak-kanak 3 tahun mati lemas, bukan diperkosa sehingga mati


PREY VENG, KEMBOJA - Gambar mayat seorang kanak-kanak perempuan yang didakwa telah dirogol sehingga mati dan dicampak ke dalam kolam sawah, tersebar meluas di media sosial. 

Bagaimanapun, dakwaan kononnya kejadian itu berlaku di Aceh Tenggara, Indonesia adalah tidak benar. Sebaliknya kejadian itu berlaku di wilayah Prev Veng, Kemboja. 

Lapor Rasmeinews.com, kejadian itu berlaku pada waktu pagi 23 Februari lalu di mana, mangsa berusia 3 tahun jatuh tergelincir ke dalam sungai dan lemas. 

Menurut ibu mangsa, sebelum kejadian itu, dia sedang sibuk dan anak-anak berjalan di tebing sungai. Tiba-tiba si ibu dimaklumkan oleh anak lelaki yang adik perempuan terjatuh dalam sungai. 

Si ibu yang datang cuba menyelamatkan anaknya tetapi sudah terlambat, mangsa telah pun meninggal dunia. 

Sebelum ini, beberapa blog melaporkan mangsa berusia 6 tahun telah diperkosa sehingga mati dan mayatnya dicampak ke sawah dan ditemui pekerja sawah pada awal pagi keesokan hari. - The Reporter