'Kau jangan manjakan sangat bini' - dek hasutan si ibu, suami kehilangan isterinya

Bila ada di depan mata, tidak dihargai. Bila sudah tiada, barulah tercari-cari. Inilah perangai sesetengah golongan lelaki bergelar suami yang kerap kali mengabaikan tanggungjawab sehingga menyebabkan isteri terpaksa menanggung beban yang tidak sepatutnya.

Di zaman ini, amat sukar mencari pasangan yang baik orangnya selepas berkahwin. Namun, jodoh yang ditentukan itu pasti ada hikmahnya. Jika pasangan anda bermasalah, mungkin anda boleh cuba mengajaknya ke arah kebaikan tanpa mengenal erti kata putus asa.

Kisah lelaki ini wajar dijadikan sebagai pengajaran buat semua agar sentiasa membahagiakan isteri dan menggalas tanggungjawab sebagai suami dan bapa sepanjang masa, bukannya mengikut 'mood'. Semoga bermanfaat.


Dari Kisah Rumah Tangga Fans

Saya tahu kenapa isteri saya lari. Dulu saya jahat, tak kerja dan dia hanya senyum saja pelihara biawak hidup. Ibu dan adik beradik saya semua membenci saya. Tetapi isteri tetap hormat dan sayang pada saya. Isteri saya sabar saja bila saya maki dan pukul dia. Dia? Dia tidak berhenti mendoakan saya, ajar saya solat, baca Quran sampai saya berubah menjadi baik sedikit. 

Bila saya dah jadi baik, memang sayang sungguh pada isteri. Yelah, ibu saya pun tak pernah paksa saya solat dulu. Ibu tak pernah marah saya buat perkara jahat dan tak pedulikan saya. Ibu hanya buat kerja dia saja dan kini dia berniaga kedai makan. 

Sekarang bila saya dah berbaik dengan isteri, rajin ke masjid, ada rezeki lebih, saya hulurkan pada ibu. Tetapi ibu pula mengajar saya secara halus untuk membenci isteri. Sumpah saya tak perasan dan ikut saja apa semua yang ibu katakan. 

"Kau jangan manjakan sangat bini, malu kat orang bila orang tahu ko dok tolong bini buat kerja rumah. Duit kau tu, kau simpan. Makan minum pakai duit bini kau sudah. Duit kau, jangan diboros, simpan. Itu bekalan untuk kau tua-tua esok," kata ibu. 

Padahal isteri sayalah yang ada di sisi saya ketika saya susah dan dibuang ibu dulu. Sampai isteri saya meninggal dunia, sebentuk cincin pun saya tak pernah beli untuk dia sepanjang perkahwinan kami. Kenapalah saya buta dan tidak sedar semua itu. 

Bila saya ada duit, saya hulur sedikit saja pada isteri. Kalau saya dapat untung RM1,000, saya hanya bagi RM100 atau RM150. Tetapi saya beri duit yang banyak pada ibu sebab dia pandai membodek saya bila ada duit. Ibu pula jenis yang tak boleh tengok anak lelaki dia sayangkan isteri. Ibu tahu saya suka pukul isteri sebab di depan ibu dan ayah saya pernah buat. Tetapi ibu tak pernah bertegas pun dengan saya. Dia macam seronok pula melihat saya marah, maki dan pukul isteri saya. 

Saya sangat berkira dengan isteri dalam soal duit, padahal isterilah yang setiap hari beri makan pakai saya dengan duit titik peluhnya sendiri. Dia langsung tidak pernah berkira. Tetapi bila saya berduit, saya kedekut dengan dia. 

Satu hari, isteri tak ada duit, anak pula baru mula bersekolah. Biasalah rezeki ada pasang surut. Saya pada masa itu ada duit, tapi sedikit pun tak hiraukan masalah isteri dan anak. Bil elektrik berbulan-bulan dah tak bayar dan tak pernah terdetik langsung nak bayar. Bila pihak TNB datang nak potong elektrik, isterilah yang bersusah payah mencari duit untuk bayar bil.

Bil rumah ibu, boleh pula saya bayarkan. Saya langsung tak hulur duit pada isteri tapi boleh pula hulur pada ibu dan ayah. Padahal mereka dah berduit dan tidak memerlukan sangat duit dari saya. Mungkin isteri saya terasa.

Dua tiga hari sebelum dia nak pergi, dia layan saya seperti biasa-biasa saja. Bila duit saya dah habis, dia dapat rezeki banyak dan dia dah tak hulur pada saya seperti sebelum ini. Dia banyak buat kerja sendiri, tak pernah bincang dah dengan saya. Tapi saya tak sedar yang dia sudah berubah disebabkan perangai saya. Saya benci dia dan kerap berkata nak cari isteri lain

Kami kerap bergaduh, tapi entahlah, isteri dah buat semuanya betul tetapi di mata saya nampak juga dia salah. Saya maki dia dan nampak dia menangis semasa solat. Malamnya, selepas solat isyak, dia terjatuh pengsan tiba-tiba. Allah dah ambil dia dari saya. Mesti semua boleh bayangkan bagaimana perasaan dan tangisan saya pada masa itu. Tiga tahun saya menderita seperti orang gila.

Doktor kata, isteri saya meninggal dunia sebab pembuluh darahnya pecah akibat hentakan lama. Saya mula teringat, adakah isteri meninggal disebabkan saya kerap memukulnya sebelum ini?

Saya dah buat isteri macam binatang. Saya menyesal sebab tak pernah cuba puaskan hati anak dan isteri. Saya selalu buat dia sedih tetapi dia selalu senangkan hati saya. Saya tengking pun, dia masih bersabar. Saya pukul dia pun, dia masih mampu maafkan saya.

Sudah lima tahun isteri pergi. Saya pernah berkahwin lagi tetapi hanya mampu bertahan selama tiga bulan sahaja. Sumpah, tiada wanita lain sebaik arwah isteri. Saya tak nak kahwin lagi kerana tiada wanita yang sebaik arwah isteri saya.

Sayang, abang harap sayang ampunkan abang. Setiap hari abang rindu sayang, rindu anak kita. Abang tahu sayang selalu sakit-sakit badan, sakit kepala, selalu tak sihat tetapi abang tak kisah dan selalu membebankan sayang berfikir tentang duit dan rumah. Abang biarkan sayang tertekan dengan sikap abang. 

Kalau sayang kembali pada abang semula, abang janji abang nak bahagiakan sayang. Nak suruh sayang berehat tanpa fikir tentang hal duit belanja dan semua. Abang nak jaga sayang, tak nak sayang buat kerja rumah. Abang nak sayang berehat macam sayang jaga abang dulu, yang mana abang berehat, tak fikir duit ada ke tak ada dan apa yang abang tahu abang boleh dapat apa yang abang nak, Terima kasih sayang. 


Ya Allah, abang menangis ketika menulis ini. Sayang adalah cinta abang dunia akhirat. Abang redha ke atas sayang dan semuanya. 

Nur Ain, awaklah isteri terbaik. Abang dah jadi bilal masjid kampung kita sayang. Abang dah tunaikan impian sayang untuk jadikan abang bilal dan imam walaupun sayang tak sempat tengok. Terima kasih sayang kerana mendidik abang kenal Allah.
'Kau jangan manjakan sangat bini' - dek hasutan si ibu, suami kehilangan isterinya 'Kau jangan manjakan sangat bini' - dek hasutan si ibu, suami kehilangan isterinya Reviewed by Editor on 3:37 PM Rating: 5