Merajuk ditegur kerana WeChat, si isteri minum racun rumpai


KUCHING, SARAWAK - Tak puas hati ditegur dan dinasihatkan oleh suami agar berhenti membuang masa dengan aplikasi WeChat, seorang wanita merajuk dan sanggup meminum racun rumpai, lapor Borneo Post

Dalam kejadian jam 10.30 malam kelmarin, wanita berusia 37 tahun itu merajuk selepas ditegur suaminya.

Mangsa terus meluru keluar dari rumah dan terus meminum racun rumpai sebelum dihalang oleh suaminya. Lelaki itu kemudian menghubungi ambulans untuk membawa isterinya ke hospital. 

Menurut sumber Borneo Post, si suami sebelum ini kerap memberikan nasihat agar berhenti membuang masa berhubung dengan rakan-rakannya melalui aplikasi sosial tersebut. Namun, teguran dan nasihat si suami tidak diendahkan. 

"Dia (suami) terpaksa memarahinya menyebabkan isterinya semakin tidak berpuas hati lalu bertindak meminum racun tersebut," kata sumber. 

Wanita itu kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan dan kini dilaporkan stabil. - The Reporter