Nasib baik ada abang sado


KUALA LUMPUR - "Bagaimana dia boleh berada di situ?" itu persoalan orang ramai yang hairan bagaimana kanak-kanak berusia lingkungan 4 tahun boleh berada di bumbung flat Taman Keramat, AU3, semalam. 

Dalam kejadian jam 5 petang semalam mencetuskan kebimbangan orang ramai yang melihat kanak-kanak itu berada di atas tempat yang tidak sepatutnya. 

Bimbang melihat keadaan kanak-kanak itu, Ahmad Fadhil Mohamad Nor, 26, terus memanjat bumbung itu untuk menyelamatkannya. 

Ahmad Fadhil yang baru pulang dari gimnasium berhampiran pada awalnya hairan mengapa beberapa penduduk flat berkumpul dan menjerit meminta bantuan sebelum ternampak kanak-kanak itu berada di atas bumbung. 


Posted by Shaharun Bin Baharuddin on Friday, March 17, 2017

"Disebabkan tanggungjawablah menyebabkan saya panjat juga bumbung itu. Apa cara sekalipun, saya kena pastikan kanak-kanak itu selamat. 

"Dengan bantuan rakan, saya panjat bumbung untuk mendapatkan budak itu di tingkat tiga. Ketika saya merapati dia, saya melihat dia dalam keadaan ketakutan. Alhamdulillah usaha itu berjaya menyelamatkannya," katanya. 

"Saya tidak pasti bagaimana kanak-kanak itu boleh berada di situ. Apa pun, semoga kejadian seperti itu tidak berulang," katanya kepada Harian Metro

Video tindakan berani Ahmad Fadhil itu viral di media sosial dan ramai netizen yang memuji keberaniannya. - The Reporter