'Saya haramkan diri saya untuk minta duit dari mak'



"Banyak duit Zabidi belanja mak itu ini, macam orang dah bekerja." kata mak membuka bicara setelah kami selesai solat maghrib berjemaah.

Aku tersenyum mendengar ungkapan mak sambil memikirkan apa jawapan yang sesuai untuk aku jawab pada mak.

"Ini rezeki Allah telah peruntukkan untuk mak, sepertimana Allah beri rezeki untuk mak membesarkan kami 11 beradik dahulu," jawabku pada mak.

"Zabidi cuma minta mak sentiasa doakan Allah permudahkan segala urusan yang dilakukan dan mak redha, itu sudah cukup," pintaku pada mak.

Kelihatan air mata mak bertakung di matanya seakan terharu dengan ucapanku, tetapi cuba ditahan. Aku terus memeluk erat mak dan kami saling berpelukan. Inilah satu-satunya permata hati yang tinggal untuk saya mencurah kasih setelah ayah tiada. Saya berjanji pada diri untuk berbakti dan membahagiakan mak sebelum dia memejamkan mata.

Bapa dan ibu Zabidi | Foto - Zabidi Hj Azhar
Saya masih ingat, sewaktu saya meluahkan hasrat untuk menyambung pengajian di Jordan kepada mak. Mak terasa berat hati kerana risau memikirkan biaya pengajian saya di sana kelak. Sementara ayah pula sedang sakit pada ketika itu, pastinya memerlukan belanja yang banyak untuk merawat sakitnya itu.

Tapi, saya tetap nekad untuk mencapai impian saya mendalami ilmu agama di bumi anbiya. Saya meyakinkan mak yang saya akan berusaha sendiri untuk menampung biaya pengajian di sana. Kata orang, yang datang belajar di sini kalau tanpa tajaan, pastinya anak orang berada yang mampu menampung kos sara hidup yang tinggi di sini. Tetapi itu tidak mematahkan semangat saya untuk menuntut ilmu di sana. Ulama dahulu lebih besar cabaran yang mereka hadapi.

Mungkin juga dengan sebab didikan ayah dahulu yang melatih kami adik-beradik untuk berdikari bagi mendapatkan duit, menjadikan saya berani untuk mengambil cabaran ini. Cara ayah mendidik kami, kalau mahukan duit belanja, kerja dahulu. Diberi kami modal, hasil keuntungan itulah duit belanja untuk kami. Barulah rasa bagaimana susahnya ayah mencari duit.


Jika dihitung perbelanjaan sepanjang hampir 5 tahun saya di sini, rasanya boleh beli sebiji kereta idaman Toyota Vios model terbaru secara tunai. Jika ditanya dari mana saya mendapat duit untuk menampung perbelanjaan yang serba-serbi mahal di sini (kalau nak tau caj GST di negara ini 16%, tukaran matawang terkini sebanyak RM6.25 untuk sedinar), susah untuk saya menjawab soalan ini. Saya cuma katakan ia dari Allah.

Tetapi bila saya jawab begitu, ramai yang tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan. Orang lain, bila kehabisan duit tunggu hujung bulan pihak tajaan masukkan duit atau minta mak ayah masukkan duit. Tapi saya hanya mampu berdoa dan tawakkal menunggu rezeki dari Allah.

Jangan salah sangka, bukannya saya bertawakkal tunggu rezeki datang bergolek tanpa berusaha. Maksudnya, bila saya usahakan buat bisnes dapat sambutan, cuba memohon bantuan zakat, diterima. Saya usahakan juga asbab rezeki itu. Tapi, selebihnya Allah yang beri.

Okey, saya bagi contoh antara bentuk rezeki yang saya terima.

1. Ada satu hari selepas keluar dari masjid, saya terasa lapar dan ingin membeli makanan, tapi tiada wang. Tiba-tiba datang seorang pakcik tua berambut putih dari belakang menegur saya dan bertanya, "enta maliziy?". "Naam" jawab saya. Lalu diberikan sejumlah wang kepada saya. "Leish?" tanya saya kenapa. Lalu dijawab kerana dia sukakan pelajar Malaysia. (Sampai sekarang fikir pakcik ini malaikat ke tiba-tiba muncul?)

2. Saya memakai sebuah telefon bimbit yang dibeli dengan harga yang murah untuk berjimat, cukup hanya ada aplikasi yang membolehkan untuk berinteraksi dan berhubung. Pada satu malam di bulan ramadhan selepas solat tarawih, saya singgah di rumah kawan untuk moreh. Lalu saya dikejutkan dengan satu kotak hadiah yang berisi telefon bimbit baru dihadiahkan oleh kawan-kawan. Sampai sekarang masih guna phone ini.

3. Baru-baru ini, semasa mendapat berita pemergian arwah ayah, dalam hati rasa sedih tak dapat balik untuk melihat wajah ayah buat kali terakhir. Kebetulan waktu itu tengah dalam program dan saya jadi pengarah. Saya balik kejap buat solat ghaib dan kembali meneruskan program macam biasa. Tiba-tiba kawan saya datang bagitahu suruh siap-siap untuk balik malam itu juga sebab mereka dah belikan tiket untuk saya dan hantar saya sampai ke airport.

Ada lagi cerita yang tak dapat saya selitkan di sini, tunggulah nanti kalau rajin saya tulis buku (tak tahu bila keluar buku itu. Hehe..)

Hari ini, saya perhatikan anak-anak muda yang baru hendak memulakan hidup terbeban dengan pelbagai bentuk hutang. Hutang belajar, kereta, kahwin. Dalam saya masih belajar dan tidak mempunyai pendapatan sebegini, saya telah pun melangsungkan perkahwinan semasa di tahun kedua dan saya juga telah pun memiliki kereta terpakai sendiri yang dibeli secara tunai. Semuanya tanpa berhutang. Dan Alhamdulillah, saya juga telah terpilih untuk menunaikan haji tahun depan.

Antara amalan yang saya lazimi sehingga kini ialah saya akan telefon dan bertanya khabar kepada mak seminggu sekali atau dua kali. Tetapi, selepas pemergian ayah saya telefon mak hampir setiap hari supaya mak tidak terasa sunyi.

Dulu semasa mula-mula berkerja, saya berikan semua gaji pertama saya dan belikan hadiah untuk mak. Selepas itu untuk bulan-bulan seterusnya, saya bahagikan duit gaji kepada 3. Pertama untuk mak, kedua tabung haji, ketiga simpanan untuk belajar.


Sewaktu belajar, oleh kerana tak mampu memberi duit kepada mak, saya 'haram'kan diri saya untuk minta duit daripada mak. Sudah terlalu banyak duit mak habiskan untuk membesarkan saya dahulu. Doa dan redha mak, saya hanya bermodalkan dua perkara ini sahaja untuk ke mana-mana. Selagi saya berada di bumi Allah, di situ pasti ada rezeki untuk saya. 

Begitulah, kalau kita menjaga dan menyenangkan hati mak ayah kita, insyaAllah akan dibukakan pintu rezeki seluas-luasnya untuk kita dari jalan yang tak kita sangka. Kepada yang masih punya ibu, ambil peluang untuk taat dan berbakti kepada mereka sementara mereka masih ada, kerana ia juga akan menjadi pemberat mizan kita di akhirat kelak.

Mak kita bukannya mahu duit kita sangat pun, mereka hanya mahukan belaian dan perhatian daripada kita sahaja, sepertimana mereka membelai kita sewaktu kecil dahulu. Kalau nak katakan ini sebagai pelan kewangan, iya, inilah salah satu rahsia pelan kewangan saya. Skim pelaburan dunia akhirat. Makin banyak kita memberi (terutama ibu dan keluarga) semakin banyak lagi Allah akan beri.

Prinsip kewangan saya begini:

"Mohonlah kepada Tuhan jikalau engkau sedang menderita sengsara. Dan memuji syukurlah kepada Tuhan jikalau engkau diberi anugerah-Nya."

Siapa yang berjaya baca sampai habis, ketik like dan komen 'Alhamdulillah'.