Budak bermain di jalan raya, dilanggar pemandu leka bertelefon


FUJIAN, CHINA - Seorang kanak-kanak lelaki dilanggar kereta tanpa disedari oleh pemandunya yang sedang leka bercakap dengan kenalannya di telefon bimbit, lapor Mirror. 

Meskipun dilanggar dan berada di bawah kereta itu beberapa ketika, mangsa selamat dan tidak mengalami kecederaan yang serius. 

Kejadian itu berlaku di bandar Jinjiang, wilayah Fujian, di mana mangsa sebelum itu bermain di jalan raya tanpa sebarang pengawasan ibu bapa atau penjaganya. 

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan, pemandu kereta terbabit sedang leka dengan telefon bimbitnya sebelum masuk ke dalam keretanya. 


Selepas berada di tempat duduk pemandu, lelaki itu masih bercakap dengan telefonnya dan tidak menyedari kehadiran kanak-kanak lelaki itu yang bermain di depan keretanya. 

Mangsa baru saja meletakkan tangannya di depan bonet kereta tersebut dan dengan keadaannya yang agak kecil itu menyebabkan pemandu itu tidak perasan kelibatnya di situ. 

Sebaik saja menghidupkan enjin kereta, pemandu itu terus memandu ke depan dan perlahan-lahan melanggar mangsa yang kemudian terperosok di bawah keretanya. 


Mangsa kemudian dilihat terbaring di jalan raya dan menangis kesakitan sebelum tangisannya didengari oleh pemandu berkenaan yang segera keluar dari kereta dan mengangkatnya. 

Mangsa dibawa ke hospital berhampiran oleh lelaki terbabit dan doktor berkata mangsa hanya mengalami calar dan lebam ringan sahaja. 

Pihak berkuasa Bandar Jinjiang berkata, pemandu itu boleh didakwa kerana memandu sambil menggunakan telefon bimbit. - The Reporter
Budak bermain di jalan raya, dilanggar pemandu leka bertelefon Budak bermain di jalan raya, dilanggar pemandu leka bertelefon Reviewed by Editor on 9:22 PM Rating: 5