'Hampir jam 9 malam, budak ini masih berbaju sekolah & tertidur di tangga masjid...'



Kasihan aku tengok budak ini, masih berbaju sekolah agama tertidur di tangga masjid menunggu ibu bapanya datang menjemputnya. 

Masa aku snap picture ini, azan isyak baru berkumandang. Dia sekolah di sekolah agama di sebelah masjid ini. Bayangkan, sudah hampir jam 9 malam masih berpakaian sekolah dan belum pulang. Aku yang dewasa ini pun rasa letih di waktu-waktu seperti ini. Inikan pula budak kecil?

Alhamdulillah, habis saja azan, ibunya datang menjemput. Lega perasaan aku. Dalam hati, aku berharap bukan selalu ibunya datang lewat. Mungkin baru sekali dua sahaja atau mungkin ini kali pertama dan ia takkan berulang lagi. Lagipun petang tadi hujan sangat lebat, mungkin ibunya terperangkap dalam kesesakan jalan raya. 

Walaupun masjid ramai orang, aku jadi susah hati kalau tengok budak-budak kena tunggu ibu bapa mereka lama-lama seperti ini sebab minda dan emosi mereka pada masa ini seharusnya menerima kasih sayang yang cukup dari ibu bapa. Mereka tidak sepatutnya menjadi kanak-kanak terbiar. 

Aku bersyukur sebab dapat berada di sisi anak-anak ketika mereka memerlukan. Mungkin aku tidak dapat berikan kemewahan tetapi aku dapat berikan masa yang sangat banyak untuk mereka. Kerana di peringkat ini, kasih sayang dan perhatian yang secukupnya untuk anak-anak adalah sangat penting. 

Sampai sekarang aku masih teringat kata-kata seorang rakan,

"Aku menyesal tak dapat tengok anak membesar depan mata kerana terlalu sibuk bekerja. Sekarang mereka sudah dewasa dan mereka tidak rapat dengan aku.." 

Menjadi ibu bapa, kita tidak perlu kaya harta, tetapi kita perlu kaya masa.