'Saya nak pindah sebab semalam saya kena tumbuk tanpa sebab' - Thaqif

Foto - Harian Metro
JOHOR BAHRU - Sering ditumbuk tanpa sebab, dipaksa cuci talam dan cawan walaupun bukan gilirannya, antara luahan perasaan Mohd Thaqif Amin Mohd Gaddafi,11, dalam buku latihannya, selain meminta dipindahkan dari asrama itu, lapor Harian Metro

Buku latihan Thaqif yang didedahkan oleh saudaranya yang enggan dikenali berkata, luahan Thaqif itu hanya diketahui keluarga selepas membelek buku latihannya yang dibawa pulang selepas berhenti dari sekolah tahfiz itu. 

Menurutnya, berdasarkan cerita yang ditulis, Thaqif seolah-olah berada dalam keadaan tertekan berada di tempat itu. Selain menceritakan dirinya dibuli, Thaqif juga berdoa agar ibu bapanya memindahkan dia ke sekolah lain kerana tidak selesa berada di madrasah itu. 

Sementara itu, ibunya, Felda Wani Ahmad, 40, berkata, anak ketiga dari lima beradik itu pada mulanya memang nampak gembira dapat belajar di sekolah itu sejak didaftar masuk ke madrasah berkenaan pada 27 Januari lalu. 

Bagaimanapun, keadaan Thaqif mula berubah dan meminta dipindahkan kerana mendakwa sering dipukul sejak kebelakangan ini. 

"Thaqif mendakwa dia sering dipukul di tapak kaki dan betis ketika sujud oleh pembantu warden asrama berkenaan. Melihat dia dalam keadaan sedih dan seolah-olah takut kembali ke sekolah, saya kemudian mengeluarkannya dari madrasah itu pada 31 Mac," katanya. 

Kesihatan Thaqif menjadi semakin buruk dan membuatkan dia menghantar anaknya ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan, Rabu lalu. Kedua-dua kaki anaknya lebam dan berwarna merah sebelum doktor memberitahu terdapat darah beku dan jangkitan kuman merebak ke buah pinggangnya. 

"Doktor memaklumkan mereka tidak dapat merawat kaki anak kecuali terpaksa melakukan pembedahan iaitu memotong kedua-dua kakinya agar kuman tidak merebak," katanya.

Difahamkan, ibu bapa Thaqif telah membuat laporan polis di Balai Polis Ulu Tiram pada 19 Mac lalu dan berharap polis menjalankan siasatan terperinci. - The Reporter