'Itu duit tabung saya, saya kumpul nak bagi pada ustazah'



Sekadar berkongsi suka duka hari guru hari ini, 16 Mei 2017. Al kisah hari ini. 

Waktu rehat, saya pergi ke kantin sekolah. Tiba di kantin sekolah, saya ditegur oleh seorang makcik kantin. 

"Ustazah ini yang nama Jamaliah, kan?" soalnya. 

"Ye saya makcik," dalam hati terasa pelik tiba-tiba disoal begitu. Mungkin sebab saya guru baru di situ, sebab itu dia bertanya agaknya. 

"Tadi ada budak tertinggal kertas yang bungkuskan duit syiling. Tetapi atas itu ditulis, 'untuk Ustazah Jamaliah, sedap nama'," katanya. 

Pada mulanya saya ingat makcik ini puji nama saya sedap, sebab saya masih belum faham lagi situasi dan ceritanya.

"Tetapi makcik dah bagi pada seorang ustazah yang lain tadi," sambungnya lagi. 

Saya pun kata, "Okay makcik, terima kasih" dan terus pergi ke meja untuk duduk makan bersama guru-guru yang lain. 

Bila sampai di meja, seorang ustazah bagi saya kertas yang berisi syiling yang dimaksudkan oleh makcik kantin tadi. Bila dah tengok, barulah saya faham apa yang makcik kantin maklumkan tadi. 

Di atas kerta ada ditulis, 'Huda Buat'. Bila masuk ke kelas, saya terus tanya siapa yang buat benda itu ada tulis nama ustazah tetapi tercicir di kantin. Huda murid yang pendiam tidak berkata apa-apa. 

"Ini Huda punya ke?" soal saya padanya. 

Huda sekadar menganggukkan kepala. 

"Huda nak bagi pada ustazah ke?" soal saya lagi. 

Huda mengangguk kepala. 

"Duit syiling ini duit Huda, kan? Huda nak bagi pada ustazah ke macam mana?" saya inginkan kepastian. 

"Itu duit tabung saya. Saya kumpul nak bagi pada ustazah," katanya.

Tiba-tiba mata masuk habuk. 

"Ya Allah, ustazah tak minta hadiah pun, Huda. Sini, ustazah peluk awak. Kenapa awak bagi duit tabung awak?" 

"Saya tak ada duit banyak. Saya tak tahu nak beli hadiah apa pada ustazah," katanya. 

Ya Allah, dah 10 tahun mengajar, ini kali pertama saya amat tersentuh dengan hadiah hari guru sebegini. Semoga murid ini membesar menjadi anak yang patuh dan taat pada perintah Allah. Anak yang sangat solehah kepada ibu bapanya. Amin. 
'Itu duit tabung saya, saya kumpul nak bagi pada ustazah' 'Itu duit tabung saya, saya kumpul nak bagi pada ustazah' Reviewed by Editor on 4:04 PM Rating: 5