Wanita hamil dirompak pemandu Uber & rakannya


PUCHONG, SELANGOR - Seorang jurujual kosmetik dirompak pemandu Uber dan seorang lagi rakannya pada malam Ahad lalu. 

Dalam kejadian jam 9.26 malam, Wong Mei Yan yang juga hamil itu telah diacu dengan pisau dan barang-barang berharga miliknya dirompak dua suspek terbabit. 

Difahamkan, mangsa memesan perkhidmatan Uber di pusat beli-belah Midvalley untuk menghantarnya pulang ke rumah. Kemudian pesanan mangsa telah diterima oleh pemandu kereta Proton Saga PJY9945. 

Setibanya di sebuah kedai pakaian berdekatan One Puchong, tiba-tiba muncul seorang lelaki yang duduk di tempat duduk hadapan mengacu pisau ke arah mangsa dan meminta barang-barang berharganya diserahkan. 

Bimbang dengan keselamatan diri, mangsa telah menyerahkan kesemua barangan yang diminta. Mangsa juga merayu agar dua suspek berkenaan tidak mengapa-apakannya sebelum ditinggalkan di tepi jalan. 

Mangsa kemudian meminta bantuan dari seorang pengguna jalan raya yang memberhentikan kenderaannya untuk bertanyakan apa yang berlaku. 

"Ketika dalam perjalanan pulang, saya ternampak seorang wanita melompat, menangis melambai ke arah saya serta wajahnya kelihatan risau. Saya ingatkan dia terlibat dalam kemalangan, lalu memberhentikan kereta dan tanya apa yang berlaku. 

"Dia memaklumkan bahawa dia baru saja dirompak oleh pemandu Uber dan dia perlu meminjam telefon bimbit saya untuk menelefon suaminya," Kata Eddy Ong. 

Wanita itu kemudian dihantar ke Balai Polis Puchong untuk menunggu suaminya di situ. 

"Katanya dia tidak perasan di tempat duduk hadapan ada seorang lagi penumpang. Dia diacu dengan pisau dan dipaksa menyerahkan semua barangannya. Dia merayu agar tidak diapa-apakan kerana dia hamil," katanya. 

Menurut Eddy, mangsa sempat menghantar maklumat mengenai pemandu Uber berkenaan kepada suaminya sebelum masuk ke kereta suspek. 


Difahamkan juga, mangsa sudah biasa menggunakan perkhidmatan Uber dan tidak pernah menyangka kejadian seperti ini akan berlaku pada dirinya. 

Antara barangan mangsa yang di ambil suspek:
  • Kad pengenalan
  • Lesen memandu
  • Kad ATM
  • Kad Kredit
  • Kad Insurans AIA
  • Kad Member AEON
  • Cincin tunang
  • Jam tangan
  • Dompet
  • Rantai tangan pandora
  • Telefon bimbit

Ekoran kejadian itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Puchong, pada malam kejadian untuk tindakan lanjut. 


Orang ramai khususnya golongan wanita dinasihatkan berhati-hati apabila menggunakan khidmat pengangkutan berkenaan. - The Reporter