'Diorang ni dari China, bodoh, lahanat' - Pemandu Grab kutuk pelancong China


KUALA LUMPUR - Malang nasib dua pelancong dari China yang dikutuk dan diperdayakan oleh seorang pemandu Grab yang tidak bertanggungjawab.

Video berdurasi 1 minit 6 saat itu menunjukkan, pemandu Grab berkenaan dengan selamba mengutuk dua penumpangnya dalam bahasa yang tidak difahami mereka, mencetuskan pelbagai reaksi netizen. 

Pemandu itu berkata, dia pening dengan dua penumpangnya itu yang dipercayai tidak fasih berbahasa inggeris menyebabkan dia sukar untuk berkomunikasi. 

Bagi tujuan memperdayakan pasangan itu, pemandu terbabit kemudian merakam video dirinya yang kononnya untuk meraikan ulangtahun ke-5 perkhidmatan Grab Car. Dalam kesempatan itu, dia melemparkan kata-kata seperti bodoh, lahanat, sengal dan musibat. 

"Si bengal dua orang ni pakai baju belang macam Zebra ni, aku rasa macam nak tepuk je kepala dia. Seronok beb dapat customer China," katanya.

Sementara itu di media sosial, netizen menyelar tindakan pemandu Grab yang tidak bertanggungjawab itu dan secara tidak langsung telah memalukan imej Malaysia. 

"Teruk benar akhlak budak. Ada tiga benda dia khianati. Yang pertama, maruah negara. Kedua, maruah bangsa dan ketiga yang paling penting tercemarnya syiar Islam," kata Johar Bin Sanudin. 

"Dia fikir kelakar?! Kurang ajar. Memalukan keluarga Melayu dan negara!" kata Noor Hisham Nur Hazelinah. 


Rata-rata netizen mendesak pihak Grab mengambil tindakan terhadap pemandu terbabit yang telah mencemarkan imej perkhidmatan Grab.