Bayi 9 bulan disyaki didera di taska


JOHOR BAHRU - Seorang bayi lelaki berusia 9 bulan didapati mempunyai sembilan kesan benjolan dan bengkak di dahi kanan dan lebam di kepalanya, selepas diambil oleh ibunya dari sebuah taska. 

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang Rabu lalu, Nor Azilena Jaafar, 26, terkejut apabila mendapati kepala anaknya, Muhammad Khalish Aufa Muhammad Khairuddin mempunyai kesan benjol, bengkak dan lebam kepalanya, selain turut menemui kesan cakaran di kepala bayinya. 

Menurut Nor Azilena, dia menghantar anaknya ke sebuah taska di Jalan Stulang Baru di Taman Suria itu pada jam 12. tengah hari dalam keadaan baik dan sihat. 

"Lebih kurang jam 6.30 petang, saya telah pergi ke taska tersebut untuk mengambil anak saya dan mendapati terdapat sembilan kesan benjolan, bengkak, lebam serta dua kesan cakaran di kepala anak saya. 

"Saya telah bertanya kepada beberapa kakitangan taska tersebut secara baik, tetapi salah seorang kakitanyanya enggan bekerjasama, malah meninggikan suara terhadap saya, seolah-olah saya yang bersalah dalam hal tersebut," kata Pembantu Farmasi KPJ itu. 


Nor Azilena turut mendedahkan, bayinya sebelum ini turut mengalami kejadian yang sama pada 12 Julai lalu. Namun dimaklumkan oleh kakitangan taska bahawa bayinya terhantuk pada pintu. 

"Saya juga dimaklumkan anak saya terhantuk padap intu dan ada satu kesan lebam/bengkak di kepala seperti terhantuk di permukaan bucu tajam. 

"Saya ada meminta pihak taska menunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), tetapi bermacam-macam alasan yang diberikan. Sehingga ke hari ini, saya belum dapat melihat rakaman kejadian dan perkara itu berlalu tanpa sebarang tindakan sehingga berlaku kejadian kali kedua," katanya. 


Menurut bapa saudara mangsa, Mohd Firdaus Mansor, mangsa telah ditahan di wad Hospital Sultanah Aminah untuk pemeriksaan lanjut. Difahamkan, keluarga mangsa juga mahu mengambil tindakan terhadap taska berkenaan. 

"Kami bukan suka-suka mahu memburukkan sesiapa atau menutup periuk nasi orang lain, cuma mahu mencari jawapan dan keadilan untuk anak saudara saya. 

"Jika salah seorang kakitangan taska tersebut memberi maklumbalas yang baik dan sedia berbincang dengan, kami sediah mendengar dan menyelesaikan masalah ini dengan cara yang lebih baik," katanya. 

Mohd Firdaus yang turut menyebarkan kejadian yang menimpa anak saudaranya itu di media sosial berkata, pihak taska ada menghubungi adiknya meminta perkongsian Mohd Firdaus itu dipadamkan. Namun Mohd Firdaus enggan berbuat demikian atas sebab-sebab tertentu. 

"Pihak taska ada menghubungi adik saya untuk memadamkan post saya yang telah menjadi viral. Namun oleh kerana saya adalah bapa saudara kepada Muhammad Khalish, dan selagi tiada apa-apa permohonan maaf daripada pihak taska, saya akan membiarkan saja post ini di Facebook saya untuk rujukan sekiranya berlaku kejadian yang sama di taska tersebut." katanya. 


Ekoran kejadian yang menimpa bayi lelakinya itu, Nor Azilena telah membuat laporan polis di Balai Polis Larkin pada Rabu lalu untuk tindakan lanjut dari pihak polis. 
Bayi 9 bulan disyaki didera di taska Bayi 9 bulan disyaki didera di taska Reviewed by Editor on 11:15 PM Rating: 5