Dibelasah sampai mati kerana disangka penculik kanak-kanak


INDIA - Seorang wanita diikat pada traktor dan dibelasah sehingga mati oleh penduduk kampung selepas dia dituduh menculik kanak-kanak, lapor Daily Mail

Otera Bibi, 42, yang mengalami masalah mental tinggal bersama ibu bapanya tetapi pada hari kejadian dia keluar dari rumah dan merayau di kampung berhampiran di Bengal barat, India, Selasa lalu. 

Otera kemudian singgah di sebuah pondok kayu milik seorang penduduk kampung, Dilip Ghosh, yang menyangka Otera cuba menculik anak perempuannya berusia 10 tahun, lalu menjerit meminta tolong dari penduduk kampung. 



Penduduk kampung segera datang menangkap Otera sebelum mengikatnya pada traktor dan membelasahnya dengan kayu serta merejamnya dengan batu selama tiga jam. 

Penduduk kemudian menanggal pakaian dan membotakkan kepala serta membelasahnya tanpa belash kasihan, menurut saksi kejadian yang berlaku di kampung Mithipur-Panagarh. 

Difahamkan, Otera cuba menyatakan bahawa dia tidak bersalah, namun penduduk kampung tidak faham dengan apa yang cuba dijelaskannya itu. 

Polis kemudian tiba di lokasi kejadian pada waktu tengah hari dan segera membawa Otera ke hospital. Malangnya Otera meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas dibelasah penduduk kampung berkenaan. 



"Penduduk kampung membelasah mangsa selepas dia didakwa cuba menculik seorang kanak-kanak perempuan penduduk di kampung situ. 

"Siasatan sedang dilakukan dan pihak kami sedang mengesan beberapa individu yang terlibat termasuk mereka yang menyebarkan dakwaan yang tidak benar itu," kata Ketua Polis Daerah Murshidabad, Superintendan Mukesh. 

Polis telah menahan beberapa penduduk kampung untuk disoal siasat, tetapi sehingga kini belum ada individu yang didakwa menyebabkan kematian mangsa.


Penduduk kampung percaya bahawa Otera adalah penculik kanak-kanak kes sebelum ini di mana seorang kanak-kanak dilaporkan hilang dari kawasan kejiranan itu, bulan lalu. 


Bagaimanapun, suami Otera berkata, isterinya mengalami masalah mental dan keluarganya tidak begitu risau apabila Otera tidak pulang ke rumah kerana dia kerap merayau keluar dari rumah selama sehari atau dua hari.