Facebook akan sembunyikan 'post spam' dari user yang tidak bertanggungjawab


Facebook akan sembunyikan perkongsian pautan laman berita atau artikel dari penggunanya yang dikategorikan sebagai 'spam users' bagi tujuan 'clickbait', artikel sensasi dan berita palsu, lapor Independent.

Dalam satu kenyataan Facebook berkata, kemaskini yang dilakukan itu adalah bertujuan mengurangkan perkongsian pautan yang tidak bermanfaat dan berkualiti rendah dari terus mencemari 'news feed' penggunanya. 

Facebook berkata, pihaknya telah menjalankan kajian yang menunjukkan bahawa, wujud sekumpulan kecil pengguna yang selalu memuat naik pautan berita atau artikel dalam jumlah yang banyak setiap hari sehingga memenuhi 'news feed' penggunanya.

Kajian itu juga menunjukkan pengguna yang sama juga memuat naik pautan berita atau artikel yang berkualiti rendah.

Hasil dari kajian tersebut, Facebook berkata pihaknya akan menyembunyikan perkongsian pautan berita atau artikel dari akaun individu terbabit. 

Bagaimanapun, dasar baru ini hanya terpakai pada akaun individu sahaja. Bagi Facebook Pages, aktiviti muat naik video, gambar, check in atau kemaskini status Facebook tidak akan terjejas. 

"Dengan langkah ini, kami dapat mengurangkan perkongsian pautan yang berunsur 'clickbait', artikel sensasi dan berita palsu. Sekaligus hanya memberikan informasi yang berguna kepada para pengguna," kata kenyataan itu.